Bekas ketua menteri gesa henti diskriminasi kaum, politik dalam pentadbiran
Sudah sampai masanya pemerintah menamatkan amalan membeza-bezakan layanan yang diberikan kepada rakyat mengikut asas kaum atau pegangan politik mereka.
Menurut bekas ketua menteri Melaka, Adly Zahari, selaku wakil rakyat, perkara itu tidak harus terjadi, khususnya dalam pentadbiran kerajaan negeri di Melaka.
“Saya selalu menyebutnya, dan selalu mendengar Idris (Haron) juga membangkitkan bagaimana amalan politik yang meletakkan bahawa bantuan kebajikan itu (dibezakan) berasaskan kepada garis politik.
“Kita ini sudah merdeka lebih 60 tahun, sepatutnya kita tidak pergi ke arah itu lagi.
“Lagi satu isu yang paling besar ialah bagaimana kita melayan rakyat berdasarkan kepada asas-asas perkauman, sedangkan kita tahu bahawa kita harus memberikan yang terbaik kepada mereka tanpa mengira warna kulit dan fahaman agama kerana mereka adalah rakyat Melaka,” katanya.
Dia berkata demikian dalam rancangan bual bicara Pentas Dinamika, yang disiarkan menerusi laman sosial dan YouTube TV Dinamika malam tadi.
Rancangan itu turut disertai seorang lagi bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron, yang turut memberikan pandangan senada.
Kata Idris pendekatan mendiskriminasi perkhidmatan sebenarnya hanya akan mengekang sesuatu parti itu daripada menerima sokongan daripada rakyat secara meluas.
“(Seolah-olah) Politik mengatasi segala-galanya," kata bekas Adun Sungai Udang itu.
Patut rakyat atasi segalanya
Bahkan, Idris berpandangan undi majoriti yang diraihnya dalam PRU ke-14 merosot berbanding PRU sebelumnya adalah disebabkan faktor itu.
Katanya, pernah suatu ketika dia menghadiri program penyampaian kerusi roda di rumah seseorang yang menderita sakit kaki, tetapi kemudian mendapat tahu kemudian, di sebelah rumah itu tinggal seseorang yang lain - juga kudung kakinya - namun terabai daripada bantuan selepas namanya tidak tersenarai sebagai penerima kerusi roda.
“Jadi saya tanya mengapa, (kemudian dimaklumkan bahawa) kerana orang itu bukan ahli parti (Umno),” katanya.
Hal-hal sebegitulah, kata Idris, yang menyebabkan sokongan rakyat kepada sesuatu parti pemerintah semakin tandus.
Untuk rekod, Idris meraih undi majoriti 9,136 undi di Sungai Udang pada PRU 2013, namun angka itu merosot menjadi hanya 2,229 undi pada PRU 2018.
“Apabila kita menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, yang lapar itu sama saja, yang sakit itu sama saja, yang susah itu sama saja - tidak berasaskan kepada kaum dan sebagainya.
“Ia sentiasa harus menjadi ‘rakyat mengatasi segala-galanya’,” kata Idris lagi.
Bahkan, dia turut membayangkan DUN Melaka mesti diwakili mengikut perkadaran demografi kaum di negeri berkenaan, agar suara setiap rakyat dapat dibawa dan didengari di dewan negeri.
Idris merupakan salah seorang Adun yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri Melaka pada 3 Okt. Dia bertindak demikian bersama tiga Adun lain - seorang dari Umno sepertinya, seorang dari Bersatu, dan seorang bebas.
Dua daripada mereka memenangi kerusi masing-masing atas tiket PH pada PRU lalu namun berpaling tadah menyokong BN sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan pimpinan Adly pada tahun lalu.
Keempat-empat Adun terbabit pada mulanya mahu membentuk kerajaan baru bersama PH, namun DUN Melaka dibubarkan selepas Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam menerima cadangan dikemukakan Sulaiman Md Ali, lalu membuka laluan untuk pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.
Umno dan Bersatu memecat ahli mereka yang terlibat dalam gerakan itu. Melaka akan memilih pada 20 Nov ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai