Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH Melaka mohon semakan kehakiman isu pembubaran DUN

Bekas ketua menteri Melaka dan pengerusi PH negeri, Adly Zahari hadir ke mahkamah hari ini untuk mencabar pembubaran DUN Melaka awal bulan ini.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini, peguamnya Razlan Hadri mengesahkan kepada media mengenai pemfailan permohonan kebenaran semakan kehakiman.

"Tindakan undang-undang itu adalah berhubung pembubaran (DUN Melaka), dan kedudukan ketua menteri sementara (Sulaiman Md Ali) akan dibangkitkan.

"Menurut warta negari (bertarikh 5 Okt), dia (Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam) dinasihatkan oleh Sulaiman (untuk membubarkan DUN).

"Kami ingin melihat (melalui tindakan undang-undang) apakah Sulaiman boleh memberikan nasihat tersebut atau tidak," kata Razlan.

Permohonan semakan kehakiman menamakan Sulaiman, speaker DUN Ab Rauf Yusoh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan Ali, sebagai responden.

Pada 4 Oktober, empat Adun yang diketuai oleh Adun Umno Sungai Udang, Idris Haron, mengumumkan keputusan mereka untuk menarik balik sokongan kepada Sulaiman.

Tiga yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Susulan itu, Sulaiman kehilangan majoriti dan Ali membuat keputusan untuk membubarkan DUN, membuka jalan untuk pilihan raya negeri pada 20 November.

Menurut salinan permohonan permohonan semakan kehakiman yang disediakan kepada media petang ini, Adly meminta beberapa pengisytiharan, antaranya untuk mengisytiharkan tindakan, pada atau sekitar 4 Oktober, untuk membubarkan dewan perundangan keempat belas Melaka sebagai tidak sah, menurut kepada Perkara 19 (2) perlembagaan negara, kerana Sulaiman telah hilang majoriti sebelum memberi nasihat itu.

Adly juga meminta pengisytiharan bahawa nasihat Sulaiman kepada Ali pada atau sekitar 4 Oktober untuk membubarkan DUN Melaka, batal dan tidak sah kerana dilakukan bukan hanya dalam mala fide (dalam niat buruk), tetapi juga tidak masuk akal dan tidak rasional kerana Covid-19 yang berterusan.

Adly meminta pengisytiharan bahawa pewartaan pembubaran itu batal kerana Ali didakwa tidak mengetahui bahawa Sulaiman tidak lagi mempunyai majoriti dewan, ketika nasihat itu diberikan.

Dia juga meminta perintah untuk membatalkan arahan SPR yang dikeluarkan pada 18 Oktober, untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Melalui afidavit untuk menyokong semakan kehakiman, Adly berpendapat bahawa Sulaiman sudah kehilangan majoriti antara 3 dan 4 Oktober, yang menghilangkan haknya untuk memberi nasihat kepada Ali.

Pemohon mendakwa bahawa dia diberitahu oleh Adun Bandar Hilir Tey Kok Kiew bahawa dalam pertemuan pada 3 Oktober, Rauf telah memberitahu ahli parlimen DAP (Tey) ​​mengenai penarikan sokongan oleh empat Adun terhadap Sulaiman.

Adly mendakwa dia dimaklumkan oleh Tey bahawa Rauf telah meminta sokongan dari DAP untuk mengelakkan kejatuhan pentadbiran PN Melaka, sebagai ganti persefahaman dengan DAP seperti persefahaman di peringkat persekutuan antara kerajaan dan pembangkang.

Adly menuduh Rauf memberitahu Tey bahawa jika tidak ada persefahaman yang dapat dicapai, maka dia (Rauf) akan menyebabkan pembubaran DUN Melaka.

[Baca berita penuh]