Pengerusi PTPTN cadang moratorium atau beri diskaun
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan mencadangkan agar kerajaan membenarkan tabung itu meneruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan oleh Covid-19.
Ini, kata ketua penerangan Bersatu itu, kerana ekonomi baru sahaja sedang mula memulih, dan masih ramai lagi peminjam yang menghadapi masalah kewangan.
Sekiranya cadangan itu dilihat sukar oleh kerajaan,Wan Saiful mencadangkan agar kerajaan memberikan kelonggaran lain seperti diskaun kepada peminjam yang membuat bayaran penuh atau membayar mengikut jadual.
“Tetapi jika moratorium sukar dilaksanakan, saya nyatakan bahawa kerajaan patut berikan diskaun paling kurang 20 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh.
“Dan, saya juga minta kita beri diskaun kepada mereka yang membayar menggunakan potongan debit langsung (secara) bulanan sebagai ganjaran kepada mereka yang membayar mengikut jadual.
“Diskaun ini merupakan satu perkara yang popular dan sering disebut dalam sesi-sesi libat urus yang kami jalankan. Saya harap kerajaan akan pertimbangkan untuk Belanjawan 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia berkata tiga cadangan tersebut telah disampaikannya kepada kerajaan dalam satu dialog mengenai Belanjawan 2022 antara ketua penerangan parti-parti kerajaan dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berlangsung malam tadi.
Ekoran krisis ekonomi akibat Covid-19, kerajaan telah beberapa kali memberikan penangguhan bayaran balik PTPTN, iaitu pada Mac hingga Disember 2020 kepada semua peminjam, disusuli penangguhan secara bersasar buat peminjam yang terkesan dari Januari hingga Mei 2021.
Penangguhan terbaru diumumkan pada Jun lalu selama tiga bulan, diberikan secara bersasar melalui permohonan dan dikira dari bulan permohonan itu diluluskan.
Belanjawan 2022 akan dibentangkan 29 Oktober ini, pada Jumaat minggu depan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai