Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Debat: Wee tuduh Guan Eng lari, Teo maklumkan dah dihubungi TV3

Rancangan untuk mempertemukan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dengan bekas menteri kewangan dalam satu debat berhubung isu dasar kabotaj negara, mengundang drama baru lagi hari ini.

Ia bermula apabila Wee 'mengherdik' Lim kerana dikatakan tidak menjawab panggilan telefon dari stesen TV3 berhubung debat tersebut.

Dakwa Wee, TV3 sudah menghubungi Lim berkali-kali untuk mendapatkan pengesahan kehadiran pada debat yang dipersiapkan untuk disiar secara langsung pada 2 Nov nanti.

“Apa cerita ni YB. Hinggakan pihak TV3 bertanya kepada saya, sama ada YB masih berminat untuk berdebat? Saya memang sudah lama bersedia. YB macam mana?

“Daripada YB berterusan merapu dan mencetuskan propaganda dengan meme, lebih baik YB jawab panggilan TV3 dan usah memberi alasan untuk lari daripada perdebatan,” katanya di Facebook.

Pihak Lim pula membalas kenyataan Wee dengan menyifatkan menteri itu seperti merendahkan martabatnya sendiri dengan kenyataan yang dibuatnya.

Hal itu dizahirkan melalui hantaran Setiausaha Antarabangsa DAP Teo Nie Ching, yang dilantik Lim untuk mengelolakan sebarang urusan serta susun atur debat berkenaan.

“Saudara Guan Eng melantik saya untuk menguruskan aturan debat sejak 15 Okt. Dan saya dihubungi TV3 hari ini jam 1.06pm.

“Sejak bila kami mengelak panggilan TV3? Kalau susah sangat pejabat Wee untuk menghubungi saya bagi membincangkan format dan perincian bersama-sama, bagitahu saya siapa penyelaras debat anda, saya sendiri akan menghubunginya,” ulas Teo di Facebooknya yang turut dikongsi Lim.

Balas membalas kenyataan dalam usaha merealisasikan debat antara Presiden MCA dan Setiausaha Agung DAP itu berlarutan sejak hujung bulan lalu.

Ia bermula apabila Lim tidak berpuas hati dengan jawapan Wee di Dewan Rakyat berhubung dasar kabotaj negara, membawa kepada Wee mencabar Lim untuk berdebat mengenainya pada 30 Sept lalu.

Cabaran itu dibuat selepas Lim bertanya kepada Wee apakah dasar kabotaj menyebabkan beberapa syarikat gergasi teknologi menjauhi Malaysia dalam projek pemasangan kabel bawah laut bagi meningkatkan sambungan internet.

Tarikh 2 Nov menjadi pilihan Wee setelah ia dicadangkan oleh penerbit TV3 yang menghubunginya bagi urusan debat berkenaan.

Wee pada 13 Nov 2020 menandatangani Warta Persekutuan untuk membatalkan pengecualian kabotaj bagi kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel dasar laut, yang menghubungkan Malaysia ke jaringan internet global.

Syarikat-syarikat gergasi teknologi telah menulis surat kepada kerajaan beberapa kali untuk menarik balik pengecualian itu ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi mempercepatkan proses pembaikan kabel internet.

Wee berkata, dasar kabotaj akan membantu industri perkapalan tempatan untuk berkembang, manakala kehadiran syarikat gergasi teknologi akan menimbulkan kebimbangan terhadap monopoli.