Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jenakakan rogol, kecoh label wiski hasil 'minda bengkok' - Rafidah

Bekas menteri kanan hari ini mengecam sesetengah pihak yang dianggapnya memiliki pemikiran "bengkok" berdasarkan dua isu yang banyak diperkatakan masyarakat sekarang.

Dua isu yang menarik perhatian bekas ketua Wanita Umno itu ialah jenaka berkaitan adegan rogol dalam filem serta kontroversi wiski buatan Malaysia yang menggunakan jenama Timah.

Mengenai insiden pelakon Fauzi Nawawi yang bercerita mengenai pengalamannya melakonkan babak merogol untuk filem Anak Halal, Rafidah berkata, tindakan memandang mudah jenayah sebegitu amat jijik.

"Tak ada sesiapa patut mengambil mudah sesuatu yang memberi kesan kepada hidup seseorang seperti kejadian rogol atau penganiayaan lain sama ada ke atas orang dewasa atau kanak-kanak.

"Amat menyedihkan apabila ada orang meringankan perbuatan yang memberi kesan kepada hidup seseorang," katanya kepada Malaysiakini.

Fauzi menarik perhatian ramai beberapa hari lalu apabila petikan video memaparkan bagaimana dia bercerita mengenai pengalaman menjalani penggambaran Anak Halal pada 2007.

Kisah diceritakan Fauzi itu berkisar kepada adegan dia merogol Raja Farah Raja Aziz. Bagaimanapun Fauzi, 48, sudah meminta maaf atas tindakannya itu, termasuk kepada Raja Farah dan suami pelakon terbabit.

Menurut Rafidah, isu-isu sebegitu timbul hasil daripada sikap masyarakat yang gagal melihat sesuatu isu dengan jelas dan menilainya denghan pemikiran sempit.

Ada tersembunyi kemunafikan

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu juga menegaskan bahawa negara ini memiliki masyarakat yang pelbagai bangsa dan kepercayaan, justeru tidak wajar mana-mana pihak memaksa pihak lain.

“Tidak ada sesiapa boleh memaksakan kepercayaannya kepada orang lain dan menganggap dirinya sebagai penjaga orang yang ada berhampirannya.

“Seseorang itu mesti mengamalkan kepercayaan agamanya dengan sebaik mungkin dan mengikuti prinsip kepercayaannya," kata Rafidah.

Tambahnya lagi menyuntik unsur agama ke dalam setiap naratif dan melihat serta membayangkan perkara-perkara yang sebenarnya tidak ada - seperti label produk dan menjadikannya suatu isu - adalah langkah berbahaya yang boleh membawa perpecahan, konflik dan hilangnya toleransi.

Rafidah juga menegaskan Islam adalah agama yang menganjurkan kesederhanaan, justeru memaksakan kehendak seseorang ke atas penganut agama lain adalahg petanda gagal bertoleransi serta mengisyaratkan ekstremisme.

"Dan sudah tentu, kadang-kadang di sebalik semua khutbah dan ucapan yang sakral itu tersembunyi kemunafikan," tambahnya.

Rafidah menambah konspel Keluarga Malaysia dibawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak akan dapat diwujudkan selagi ada pihak berasa mereka berada lebih tinggi berbanding orang lain.

"Kita tidak akan pernah memiliki Keluarga Malaysia selama ada dalam keluarga itu yang menegaskan bahawa mereka adalah 'tuan' dan berhak untuk memaksakan apa yang ada dalam diri mereka ke atas orang lain melalui pertimbangan minda bengkok mereka," katanya.

[Baca berita penuh]