Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemuda PKR bantah usaha percepat PRN Sarawak

Pemuda PKR (AMK) Sarawak membantah sebarang percubaan untuk mempercepat PRN Sarawak sebelum Febuari tahun depan, susulan khabar angin yang mendakwa DUN Sarawak akan dibubar hari ini.

Mereka berkata pendirian itu setelah mengambil kira keadaan wabak Covid-19 serta penurunan umur layak mengundi yang hanya akan dilaksanakan akhir tahun ini.

"Dalam ketiadaan keperluan terdesak, AMK Sarawak menuntut agar kerajaan negeri GPS menangguhkan sebarang rancangan untuk mengadakan PRN dalam masa terdekat demi mengurangkan risiko yang boleh dielakkan.

"Kami juga meminta Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg supaya mempertimbangkan dengan cermat dan mengutamakan nyawa serta kesihatan rakyatdan bukan sebarang percaturan politik dalam membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat ini," kata ketua AMK Sarawak Saifunnizam Sam dan timbalannya, Chiew Choon Man dalam kenyataan bersama.

Mereka turut membangkitkan isu pelaksanaan Undi 18 yang akan memberi peluang kepada ramai warga berusia 18 hingga 20 tahun untuk turut sama mengundi selepas ini.

"Kerajaan negeri seharusnya memberi ruang kepada kepada pelaksanaan pembaharuan ini yang telah menjadi persefahaman nasional dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

"Sebarang usaha mengadakan pilihan raya sebelum 31 Disember 2021 sebenarnya merupakan cubaan untuk menyekat hak mengundi dan suara anak muda dalam pilihan raya negeri kali ini," kata mereka.

Sehubungan itu, AMK Sarawak menyeru agar kerajaan Sarawak menjelaskan pendirian dan ketetapan bahawa pilihan raya negeri hanya akan diadakan selepas darurat tamat dan setelah penularan Covid-19 terkawal.

Semalam, media yang berpangkalan di Sarawak, Borneo Post memetik sumber yang mendakwa pembubaran itu adalah "sangat berkemungkinan".

Sumber yang dipetik laporan itu juga mendakwa bahawa pengundian kemungkinan diadakan pada 27 November dengan penamaan calon pada 13 November.

Sekiranya benar, ia akan bertindih dengan pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November dengan pencalonan pada 8 November.

Penggal DUN Sarawak tamat pada 7 Jun lalu namun darurat diisytiharkan bagi menangguhkan PRN ekoran penularan wabak Covid-19. Ia dijadual tamat pada Februari 2022.

Sebelum ini, timbul spekulasi usaha untuk mengadakan PRN Sarawak serentak dengan PRN Malaka, yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bermula 4 Oktober lalu.

Terdahulu, Parti Sarawak Bersatu (PSB) memberi peringatan yang sebarang percubaan untuk mempercepat PRN Sarawak akan dilihat sebagai usaha menafikan hak mengundi kepada mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun.

"Darurat di Sarawak akan berakhir pada Februari 2022 dan ketika itu, blok besar pengundi baru ini akan dapat menunaikan hak perlembagaan asas mereka dalam pemilihan kerajaan negeri yang seterusnya," kata Presiden PSB Wong Soon Koh.