ULASAN | Mengoptimumkan isu-isu pengangkutan, pentadbiran dalam RMK12
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) telah menyediakan komen-komen bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). Komen-komen ini adalah berdasarkan kepada laporan-laporan dan cadangan-cadangan yang diterbitkan oleh Awer serta maklumat-maklumat yang didapati di dalam RMK12, Rancangan Malaysia ke-11, Rancangan Malaysia ke-10 dan Rancangan Malaysia ke-9.
1. Mobiliti hijau – gambaran sebenar
Penilaian Impak Karbon bukan satu-satunya ukuran untuk menentukan kesan sektor pengangkutan kepada alam sekitar. Berdasarkan Imbangan Tenaga Nasional 2018, 36% permintaan tenaga akhir untuk Malaysia digunakan oleh sektor pengangkutan yang setara dengan 23,555 kilo tonne oil equivalent (ktoe). Namun, penggunaan tenaga elektrik yang dijana melalui arang batu untuk mengecas kenderaan elektrik juga boleh menyebabkan lebih banyak kesan negatif kepada alam sekitar. Ia adalah satu kesilapan juga dengan menonjolkan pelepasan in situ untuk menjustifikasi pengelektrikan (electrifying) sektor pengangkutan. Kerajaan mesti menjalankan Analisis Kitaran Hayat (LCA) yang tepat untuk menentukan teknologi peralihan yang lestari bagi mobiliti yang lebih mesra alam.
2. Label kecekapan tenaga mandatori untuk kenderaan
Awer ingin member amaran kepada kerajaan mengenai cadangan pelabelan kecekapan tenaga sukarela untuk kenderaan yang dipacu oleh industri. Sebelum tahun 2014, pelabelan kecekapan tenaga lima bintang dibiarkan sebagai pilihan sukarela untuk produk elektrik. Kaedah ini tidak berjaya dan banyak produk tidak cekap tenaga masih dijual kerana sektor perniagaan tidak berminat dengan pendekatan tersebut dan pasaran Malaysia menjadi “tapak pelupusan” (dumping ground) produk usang yang tidak terjual serta dilarang oleh undang-undang di negara-negara lain. Atas tekanan berterusan dari Awer, Suruhanjaya Tenaga melaksanakan cadangan kami untuk melaksanakan pelabelan lima bintang mandatori dan Piawaian Prestasi Tenaga Minimum (MEPS) mulai tahun 2014 bagi beberapa produk elektrik. Ini adalah pelaksanaan yang lebih berjaya dan dalam Rancangan Malaysia ke-11, lebih banyak peralatan ditambahkan pada skim pelabelan mengikut cadangan kami. Oleh itu, kerajaan harus mendorong rancangan peralihan ini dengan skim pelabelan mandatori yang menggunakan pendekatan Meps. Ini akan membolehkan penjimatan penggunaan bahan api dengan segera dan mendorong pendekatan yang lebih mesra alam untuk sektor pengangkutan dengan cepat.
3. Meningkatkan penggunaan (modal share) sektor pengangkutan awam
Pemilikan kenderaan persendirian tidak boleh digunakan sebagai ukuran langsung untuk keengganan pengguna beralih ke pengangkutan awam. Perhubungan yang lancar bagi pengguna untuk bergerak dari lokasi ke lokasi dan masa yang diperlukan untuk sampai ke destinasi mereka memainkan peranan utama. Sekiranya menggunakan pengangkutan awam memerlukan lebih banyak masa berbanding dengan memandu, tentunya pengguna akan membuat pilihan yang bersesuaian dengan situasi mereka. Walaupun pengelektrikan pengangkutan awam adalah langkah yang baik, Awer ingin kerajaan memastikan teknologi yang diguna pakai berdaya tahan tinggi, cekap (penggunaan tenaga) dan mesra alam.
4. Agensi-agensi tindih tugas adalah kanser kepada negara
Fungsi bertindih dan kelewahan (redundancy) antara agensi akhirnya akan membazirkan wang pembayar cukai dan menyebabkan banyak projek gagal memenuhi objektif yang disasarkan berkaitan dengan air, tenaga dan alam sekitar. Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) mempunyai fungsi bertindih dengan Pengurusan Aset Air Berhad (Paab), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Indah Water Konsortium. Jabatan Bekalan Air (JBA) mempunyai fungsi bertindih dengan Paab, Spandan operator air. Usaha untuk mengurangkan fungsi Paab, Span atau pemegang lesen perkhidmatan air tidak sepatutnya berlaku. Kedua-dua JBA dan JPP mesti ditutup dan kakitangannya boleh diserapkan ke SPAN, Paab, pemegang lesen perkhidmatan air atau jawatan kosong kerajaan yang lain. Percubaan semasa untuk menggabungkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan JBA dan JPP akan meneruskan kewujudan kedua-dua agensi tersebut dan akan menjejaskan penstrukturan semula industri perkhidmatan air. Semua peruntukan dan projek berkaitan perkhidmatan air mesti dilaksanakan dengan menggunakan model Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA). Manipulasi dan penyimpangan dari model WSIA yang sebenar mesti dihentikan.
Bersenjatakan politik pejabat, beberapa individu telah menggerakkan pembentukan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) untuk "memperjuangkan" Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) dan telah menyebabkan usaha Kecekapan Tenaga menjadi perlahan. Awer menentang langkah ini dan telah memberi amaran akan kegagalan yang mungkin berlaku dan akhirnya kerajaan telah mengakui bahawa mekanisme Tarif galakan (feed-in-tariff / FiT) yang dipelopori oleh Seda adalah satu kegagalan. Kami ingin menggesa kerajaan untuk menutup Seda dan fungsinya dapat dilaksanakan melalui suruhanjaya tenaga (ST).
Sektor alam sekitar juga dilanda dengan kelewahan yang bersaing melalui Amanah Lestari Alam yang dicadangkan penubuhannya di RMK12. Kami ingin menggesa kerajaan untuk tidak membentuk Amanah Lestari Alam dan menutup Yayasan Hijau. Pengoptimuman dan pemusatan fungsi di bawah Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) mesti dilaksanakan supaya kita mempunyai "pendekatan seluruh negara" berbanding dengan yang terbahagi.
Kesimpulan
Ini adalah siri ke-empat dan terakhir komen-komen kami mengenai isu-isu dalam RMK12. Pembetulan dan penambahbaikan pelaksanaan ini sangat penting untuk memastikan peruntukan Belanjawan 2022 hingga Belanjawan 2025 digunakan dengan betul bagi mengoptimumkan hasil yang bermanfaat kepada negara, ekonomi dan rakyat. Awer akan menghantar semua komen kami kepada perdana menteri, anggota kabinet dan ketua setiausaha negara supaya tindakan pembetulan dapat dilakukan secepat mungkin. Kami berharap kerajaan mulai menambah baik RMK12 melalui pengumuman Belanjawan 2022 yang lebih baik.
PIARAPAKARAN S ialah presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai