Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

AMK Kedah tak setuju jika Idris, 3 Adun lain sertai PKR

Ketua Pemuda PKR (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari berkata dia tidak bersetuju sekiranya bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron dan tiga Adun lain menyertai PKR.

Keempat-empat mereka sebelum ini memainkan peranan penting dalam menumbangkan kerajaan negeri Melaka sehingga memaksa pilihan raya negeri diadakan.

"Angkatan Muda Keadilan Kedah yakin dan percaya bahawa perkara ini adalah sama dan selari dengan suara rakyat dan pandangan akar umbi penyokong Pakatan Harapan yang sekali-kali tidak bersetuju secara tuntas dengan kemasukan mereka sama ada menerusi undangan jemputan atau permohonan," kata Firdaus menerusi satu kenyataan.

Idris yang juga Adun Sungai Udang dan tiga Adun lain diundang ke majlis anjuran PKR Isnin lalu.

Dalam majlis itu Idris menunjukkan minat untuk bertanding di bawah tiket PH pada PRN Melaka akan datang.

Tiga Adun yang lain ialah Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) yang sebelum ini bersama DAP, Adun Telok Mas, Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dan Adun Pantai Kundor, Azman Hassan (Umno). Kesemua mereka telah dipecat daripada parti masing-masing.

Norhizam dan Noor Effandi juga memainkan peranan dalam menjatuhkan kerajaan Melaka pimpinan PH sebelum ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP tidak bersetuju Norhizam dinamakan sebagai calon PH pada pilihan raya negeri.

Ini menyebabkan Adun berkenaan berkata DAP tiada hak untuk menghalangnya daripada menyertai PKR atau Amanah. 

Firdaus berkata prinsip perjuangan diuji pada masa sukar dan apa saja justifikasi atas nama strategi politik untuk membenarkan senario itu berlaku perlu ditentang.

"Ini adalah kerana perjuangan berprinsip ini adalah perjalanan yang panjang, dan semakin lama dalam perjalanan semakin terserlah kepalsuan, kepura-puraan dan ketidaksabaran sesetengah manusia yang kononnya mendukung idealisme dek kerana bahang kebenaran itu terlalu menyulitkan.

"Semoga barisan pimpinan Keadilan mendengar suara hati pimpinan bawahan dan pertengahan Keadilan dengan penuh kesediaan dan keterbukaan seperti lazimnya," tambah Firdaus.