Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kertas Pandora: SPRM akan rakam keterangan Anwar dalam masa terdekat

SPRM akan memanggil Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk dirakam keterangan mengenai Kertas Pandora.

Anwar sebelum ini menggesa parlimen untuk membahaskan Kertas Pandora tetapi tidak dibenarkan oleh speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dipetik oleh Sinar Harian sebagai mengatakan bahawa dia telah mengarahkan anak buahnya untuk mendapatkan kenyataan dari Anwar.

"Sama ada kita buka atau tidak kertas siasatan, kita kena bincang dengan pihak BNM (Bank Negara Malaysia) dan agensi-agensi berkaitan.

"Beri sedikit masa, kami akan buat janji temu dengan Anwar," katanya.

Kertas Pandoran merujuk kepada pembocoran dokumen milik firma perkhidmatan kewangan yang memudahkan orang kaya dalam menubuhkan dan menguruskan entiti luar pesisir.

Dokumen tersebut didedahkan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Meskipun tidak menjadi kesalahan memiliki entiti luar pesisir tetapi ia berpotensi disalahgunakan untuk menyembunyikan kekayaan di luar negara atau digunakan untuk mengelak cukai.

Antara tokoh yang disebutkan dalam Kertas Pandora termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen PKR Selayang William Leong.

Mereka semua telah menafikan melakukan kesalahan dan menegaskan bahawa entiti tersebut digunakan untuk tujuan yang sah.