Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gabungan Bersatu-PAS berisiko kalah teruk dalam PRN Melaka

ANALISIS | PRN Melaka yang bakal diadakan dijangka menjadi penentu landskap politik di peringkat nasional menuju PRU15.

Ia terutama berkaitan kekuatan gabungan Perikatan Nasional (PN) antara Bersatu dengan PAS - yang sama ada berisiko kalah teruk atau menjadi kuasa yang memberi saingan sengit dalam PRN itu.

Setakat ini, PAS masih bertegas untuk mendamaikan Bersatu dan Umno.

Walaupun tidak memegang sebarang kerusi di Melaka, parti itu tetap mempunyai kekuatannya dengan meraih 10.8 peratus undi di peringkat DUN pada PRU 2018.

Sepintas lalu, ia menunjukkan jika PAS berpihak kepada Bersatu, parti itu mampu menjadi faktor dalam pertembungan dengan Umno dan malah mungkin menafikan peluang Umno untuk mendapat majoriti di DUN.

Untuk menguji teori ini, kita boleh melihat kerusi DUN Asahan. Pada 2018, Bersatu kalah tipis di tangan Umno dengan perbezaan 275 undi.

PAS pula di tempat tercorot dengan 1,365 undi. 

Dengan majoriti kecil yang diraih Umno-BN, tidak mustahil untuk membayangkan gabungan Bersatu-PAS mampu menang di situ pada PRN nanti.

Namun dalam satu simulasi mudah dengan andaian peratus keluar mengundi sama dengan PRU2018, serta undi Melayu yang diraih Bersatu, PAS dan Umno tidak berubah dan hanya pengundi bukan Melayu yang memilih PH - Umno masih muncul sebagai pemenang.

Dalam simulasi sama di kerusi DUN lain - Lendu, Taboh Naning, Ayer Molek, Rim, Serkam dan Merlimau - di mana Umno-BN menang dengan meraih kurang 50 peratus undi, keputusan serupa diperolehi.

Sementara itu, simulasi di dua kerusi DUN yang dipegang Bersatu iaitu Paya Rumput dan Telok Mas, keputusan menunjukkan parti itu akan kalah di kedua-duanya - dengan PH merampas Paya Rumput dan Umno merampas Telok Mas.

Jika keputusan ini menjadi kenyataan, bermakna gabungan Bersatu dan PAS akan hilang semua kerusi pada PRN nanti.

Kebarangkalian itu tidaklah terlalu kecil memandangkan ada faktor-faktor lain yang tidak berpihak kepada Bersatu.

Sebahagian penyokong parti itu berkemungkinan telah beralih kepada Pejuang. PH pula mungkin dapat mengekalkan sebahagian sokongan orang Melayu, selain pengundi bukan Melayu yang dilihat berpihak kepada mereka.

Pada masa sama, sentimen anti-Umno yang dicetuskan skandal 1MDB pada 2018 telah reda dan ramai pengundi Melayu telah kembali menyokong parti itu, seperti yang dapat dilihat dalam beberapa PRK pada 2019 terutama di Tanjung Piai, Johor.

Ini bermakna sokongan Melayu terhadap Bersatu kian berkurang.

Satu-satunya cara untuk parti itu tidak hilang semua kerusi adalah jika ia berjaya menarik pengundi Melayu yang secukupnya daripada Umno, terutama ketika presidennya Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Namun dengan Umno kembali menerajui kerajaan persekutuan, sebarang pertambahan sokongan yang diraih Bersatu sebelum ini mungkin sudah hilang.

Parti itu juga pada masa ini memiliki sumber di peringkat persekutuan yang terbatas.

'Kalah dengan Bersatu, menang dengan Umno'

Bagi penganalisis politik Wong Chin Huat, Bersatu memang tiada harapan dalam PRN Melaka.

"Bersama PAS atau tidak, Bersatu tiada peluang di Melaka," katanya.

Katanya, walaupun PAS mungkin sekutu terbaik bagi Bersatu, tidak banyak kelebihan yang dapat diraih daripada kerjasama itu memandangkan PAS tiada asas yang kukuh di sana.

"Saya tidak melihat ada rasional untuk Umno Melaka beri laluan kepada Bersatu atau PAS di saat ia boleh menjadi satu-satunya parti konservatif Melayu di negeri itu," katanya lagi.

Justeru, kerjasama dengan Bersatu juga mungkin tidak akan menguntungkan PAS.

Jika PAS menyokong Umno dan BN pula, maka parti itu mungkin berpeluang untuk menang di Paya Rumput dan merampas kerusi Gadek, Klebang, Bemban dan Duyong daripada PH.

Dengan itu, gabungan PAS dan BN akan meraih 18 kerusi DUN - lebih daripada cukup untuk membentuk kerajaan negeri.

Justeru, pilihan yang PAS ada adalah untuk kalah bersama Bersatu atau menang bersama Umno.

Kemungkinan Bersatu menunjukkan prestasi yang teruk di PRN Melaka mungkin mengejutkan sesetengah pihak, memandangkan parti itu meraih sokongan yang agak baik dalam PRN Sabah pada tahun lalu.

Namun, prestasi Bersatu yang positif ketika itu boleh disandarkan di atas kerjasamanya dengan Umno dan BN.

Jika senario terburuk untuk Bersatu berlaku dalam PRN Melaka, nasib sama mungkin menunggu parti itu pada PRU15.

Bersatu tiada akar umbi yang kuat dan semua faktor yang menghakis sokongan Melayu buat parti itu di Melaka turut berlaku di seluruh negara.

Menurut Wong, jika Bersatu menunjukkan prestasi yang buruk di Melaka, Umno akan terus mengasak PN dengan lebih kuat.

"(Jika ini berlaku) di barat daya, dari Selangor hingga Johor, pemimpin Bersatu mungkin perlahan-lahan akan kembali kepada Umno.

"Ini berita buruk untuk Bersatu tetapi PAS tidak rugi apa-apa. Jika tiada persetujuan (kerjasama), PAS boleh bertanding di beberapa kerusi, untuk melihat tahap sokongan terhadapnya," katanya lagi.

[Baca berita asal]