'Tanah adat Orang Asli, peribumi Sabah, Sarawak terus diceroboh' - Aktivis
Aktivis Orang Asli yang tampil sebagai ahli panel siri forum 'Himpunan Marhaen' telah menyorot pencerobohan berterusan di tanah adat mereka yang berlanjutan meskipun semasa wabak Covid-19.
Penganjur forum, wakil Gabungan Marhaen, Suresh Kumar pada satu kenyataan berkata para panelis membincangkan bagaimana "pencerobohan terhadap tanah adat OA, salah guna kuasa dan rampasan tanah terus berleluasa" walaupun hak Orang Asli dijamin Perlembagaan Persekutuan.
"Perbincangan juga menjurus kepada tiga undang-undang pemilikan tanah adat yang berbeza dalam sebuah negara, iaitu di Semenanjung, Sarawak dan Sabah," kata Suresh, aktivis PSM yang bekerja dengan komuniti Orang Asli di Tanah Tinggi Cameron selama lebih dari 15 tahun
Antara lain, Suresh terlibat dengan Orang Asli dari Pos Lanai yang menentang projek empangan hidroelektrik Telom di Tanah Tinggi Cameron, sehingga akhirnya dibatalkan.
Katanya, "seorang atau dua" daripada keseluruhan Orang Asli di sebuah kampung yang sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang menceroboh tanah adat mereka tidak boleh disamakan dengan majoriti komuniti yang membantah pencerobohan itu.
"Adanya Orang Asli yang tamak tetapi adanya juga Orang Asli yang kehilangan punca pendapatan sehingga terpaksa bekerja di bawah penceroboh tanah adat untuk menyara keluarga," katanya.
Suresh berkata panelis forum dan peserta lain yang bercakap termasuk Pengarah Eksekutif Center for Orang Asli Concerns Colin Nicholas, Pengerusi Jaringan Orang Asli Semenanjung Malaysia Tijah Yok Chopil, koordinator hak tanah Pacos Trust Sabah Galus Ahtoi, aktivis hak tanah Orang Asal Sarawak Nicholas Bawin dan Pengarah Penyelidikan Sahabat Alam Malaysia Shamila Ariffin.
Menurutnya, Colin dan Galus telah membangkitkan projek pembangunan yang sedang berlangsung yang didakwa berlaku di tanah adat manakala Nicholas mengetengahkan penghakiman kes yang didakwa salah di Sarawak yang menyebabkan kehilangan hak tanah adat bumiputera Orang Asal.
Sementara itu, Suresh menjelaskan Tijah dan Yusri berkata Orang Asli tidak boleh dipersalahkan kerana kehilangan tanah mereka ataupun kegagalan mereka melawan mana-mana pemaju projek.
Forum Himpunan Marhaen pada peringkat akar umbi mengetengahkan isu-isu khusus yang dihadapi oleh pelbagai komuniti terpinggir dan akan berakhir dengan konsert maya malam ini.
Topik lain yang dibincangkan termasuk hak perumahan dan hak pekerja dalam konteks pandemik Covid-19.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai