Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Port Dickson kembali meriah

Pantai peranginan di Port Dickson kembali menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh pelosok negeri yang nyata merindukan aktiviti perkelahan bersama keluarga selepas hampir berbulan-bulan 'terkurung' di rumah ekoran sekatan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

Tinjauan Bernama di Pantai Teluk Kemang mendapati orang ramai mula memeriahkan kawasan pantai manakala rata-rata peniaga yang ditemui berasa lega dengan kehadiran pelancong kerana mereka dapat menjana semula pendapatan selepas perniagaan terjejas teruk akibat pandemik itu.

Peniaga kedai cenderamata, Ayunita Rasul, 26, berkata kedainya mula dikunjungi ramai pelancong sejak Negeri Sembilan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 26 Ogos lepas.

"Jualan semakin meningkat sejak kebenaran merentas daerah dengan mampu mencecah hampir RM1,500 bagi tempoh dua hari berbanding semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hendak cecah RM100 pun agak susah," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Mohd Farus Ezam Abas, 41, yang menyediakan perkhidmatan menunggang kuda di Dataran Teluk Kemang berkata kelonggaran untuk orang ramai melakukan aktiviti di kawasan pelancongan memberi sinar baharu kepada pengusaha sepertinya yang hilang pendapatan berikutan ketiadaan pengunjung sebelum ini.

Menurut Mohd Farus, susulan rentas negeri dibenarkan, beliau telah membuat persiapan rapi bagi memastikan pelanggannya mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan supaya mereka dapat beriadah dengan selamat.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Pahang, Nazirah Zamzurin, 29, berkata beliau memilih Port Dickson sebagai destinasi percutian pertamanya selepas rentas negeri dibenarkan adalah kerana teruja mahu melihat keindahan pantai peranginan itu.

"Saya sudah lama tidak bercuti dan kebenaran yang diberikan kerajaan akan dimanfaatkan sebaiknya. Saya tidak sabar untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sekitar Port Dickson dan mencuba makanan tradisional Negeri Sembilan," katanya.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan Haziz Hassan berkata penginapan hotel dalam negeri ini meningkat 50 hingga 60 peratus sejak rentas negeri dibenarkan Isnin lepas.

Beliau berkata sektor perhotelan di negeri ini terutama di Port Dickson menerima tempahan bilik penuh 100 peratus pada hujung minggu ini terutama pelanggan dari Lembah Klang.

Katanya selain bilik penginapan, tempahan untuk penganjuran seminar, kursus serta mesyuarat turut meningkat sejak Isnin lepas.

- Bernama