Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gerak98 mahu lawan 2 bekas Adun PH yang berpaling tadah di Melaka

Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim, Gerak98, sedia bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka bagi menentang nama-nama yang pernah berpaling tadah hingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Melaka tahun lalu.

Menurut Setiausaha Gerak98, Mohd Isa Yusof, mereka tidak akan membiarkan dua Adun yang berpaling tadah terbabit untuk menyertai PRN Melaka atas “nama reformasi” - dipercayai merujuk kepada tiket gabungan PH.

Bukan itu saja, Gerak98 juga menyatakan kesediaan mereka menentang calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sekiranya calon terbabit tidak ditentang gabungan “proreformasi seperti PH”.

“Mereka ini tidak boleh diberi peluang bertanding atas tiket dan nama reformasi. Malah sekiranya mereka bertanding sebagai bebas atau parti-pati lain, mereka tidak boleh dibiarkan tanpa tentangan.

“Sekiranya berlaku keadaan itu, Gerak98 akan meletakkan calon menentang mereka.

“Gerak98 juga bersiap untuk meletakkan calon menentang calon-calon dari parti Pejuang sekiranya tiada tentangan daripada parti-parti dan koalisi proreformasi seperti PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isa dipercayai merujuk dua Adun yang memenangi kerusi masing-masing menggunakan tiket PH yang berpaling tadah untuk memberikan sokongan kepada pembangkang sehingga membolehkan kerajaan baru dibentuk tanpa pilihan raya pada Feb tahun lalu.

Ia menjadikan BN-PN pada waktu itu mendapat tambahan empat kerusi dan membentuk majoriti seterusnya menjadi kerajaan negeri.

Dua Adun terbabit ialah Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) yang memenangi kerusinya sebagai calon DAP dan kini menjadi Adun bebas, serta calon PKR Muhammad Jailani Khamis (Rembia).

Untuk rekod, kerajaan BN-PN di Melaka turut tumbang awal bulan ini pabila empat Adun menarik sokongan daripada kerajaan - termasuk Norhizam - dan mahu membentuk kerajaan bersama PH.

Pun begitu, sementara menunggu keputusan sama ada PRN akan diadakan atau ditangguhkan, Melaka ditadbir kerajaan sementara dengan diketuai bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Kata Isa, dua Adun berkenaan boleh mencontohi prinsip yang ditunjukkan ketua Gerak98 Ezam Mohd Nor, yang tidak menyertai PRU14 setelah kembali semula “bersama perjuangan reformasi” beberapa tahun sebelum PRU diadakan.

“Tetapi beliau terus berkempen, melakukan saman terhadap kerajaan dalam kes 1MDB dan lain-lain tanpa meminta peluang menjadi calon PRU14," katanya.