Nukilan Rafidah: Apabila negara hilang pedoman
Nampaknya perkembangan semasa dalam negara terus membimbangkan bekas menteri kanan, Rafidah Aziz, yang jelas terus memerhati dari semasa ke semasa.
Selain memberikan pandangan seperti kebanyakan orang politik, Rafidah juga menggunakan kaedah berseni untuk menyampaikan rasa hatinya.
Kali ini bekas ketua Wanita Umno itu menyentuh mengenai hala tuju negara yang dirasakannya sudah kehilangan kompas pedoman dengan sebuah puisi.
Berikut adalah nukilan Rafidah:
Apabila Hilang Pedoman
Hidup mesti ada haluan tujuan, dan ada pedoman
Bukan hanya ikut sesuka hati, niat, tujuan dan perasaan
Bukan berhujah, berucap berapi-api tetapi lain perbuatan
Tidak peduli, tidak kisah, tidak pandang kiri dan kanan
Apabila jawatan dalam tangan dan kuasa sudah digenggam
Tidak lagi dibeza antara betul dan salah, dihalalkan pula apa yang haram
Sekarang, yang cerah sudah menjadi gelap, yang dulu ceria sudah jadi suram
Yang penting, nafsu politik terus puas, dapat segala yang dicita dan didendam
Imej negara jelas tercalar, semakin dipandang sebagai hodoh
Tidak lagi maju ke depan, tetapi sudah ketinggalan jauh
Seperti kapal hilang haluan, entah di mana nak diturunkan sauh
Kompas kegara telah rosak, jarumnya perlu dibetulkan agar kukuh
Apabila yang diamanah mentabir hilang arah hilang pedoman
Kepentingan rakyat dan negara dipandang ringan
Apa yang utama, yang sebenarnya penting bukan lagi pertimbangan
Cuma agenda cita-cita, matlamat masing-masing menjadi panduan
Apabila mentadbir tanpa visi, asas realiti, dan cetek upaya
Apabila slogan dan ucapan sentiasa jadi hidangan halwa telinga
Rakyat berasa kecewa, dan sentiasa tertanya-tanya
Ke mana haluan akan dibawa Malaysia ini, yang mereka sama-sama punya ?
Kita berada sekarang di persimpangan jalan
Adakah hendak terus menggelongsor ke belakang atau maju ke hadapan?
Sangat perlu ditentukan sekarang arah pedoman dan haluan
Kikis dan buang apa jua yang hanya merosak dan menghancurkan
Tebus balik maruah negara, bangun semula dengan kekuatan
Kegemilangan dan ketahananya kita usaha kembalikan
Supaya kita sama-sama megah dan bangga sebagai anak watan
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai