Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KKM sekali lagi laporkan kumpulan antivaksin ke polis

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu serta menggugat keselamatan awam, kata menterinya, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, KKM berharap supaya tindakan susulan seperti siasatan dan pendakwaan dapat dijalankan dengan segera ekoran laporan yang dibuat mereka.

“Pihak @KKMPutrajaya telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin. Kami harap tindakan susulan (sisatan, pendakwaan, dll) dapat disegerakan.

“Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan annoying (menjengkelkan),” ciap ahli parlimen Rembau itu.

Arahan itu hadir selepas seorang doktor mempertikaikan tahap “kekebalan” golongan antivaksin di negara ini yang dengan sewenang-wenangnya menabur fitnah berkenaan vaksin.

“Adakah saya seorang saja yang rasa kumpulan antivaksin kat Malaysia ni kebal sekebal-kebalnya?

“Mantan PM, presiden Umno pun turun naik mahkamah, tapi antivaksin ni lebih hebat lagi. Petik nama menteri sesuka hati.

“Tabur fitnah sana sini, tiada sebarang tindakan (dikenakan). Sampai bila?” soalnya di Twitter.

Minggu lalu, Khairy turut mengeluarkan arahan kepada KKM agar melaporkan kepada polis hantaran seorang warganet yang menyebarkan fitnah mengenai program vaksinasi Covid-19.

Warganet terbabit menulis hantaran di Twitter mengenai senarai guru-guru yang didakwanya meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Mengumumkan langkah itu di Twitter, Khairy berkata ada masa boleh diluangkan untuk mendidik orang ramai dan libat urus berhubung vaksinasi Covid-19.

"Tetapi di sana juga ada waktu untuk menguatkuasakan undang-undang," ciap Khairy sebelum ini.