Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN Melaka: Presiden, timbalan ada pandangan sendiri - Ahmad Maslan

Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan mempunyai pandangan masing-masing berhubung cara Umno mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan kelak.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata buat masa ini kedua-dua mereka sedang mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak sebelum satu ketetapan muktamad dibuat.

Ahmad - yang ditanya media mengenai pendirian Umno sama ada bergerak solo atau sebaliknya dalam PRN berkenaan - berkata hanya selepas itu keputusan ditetapkan.

"Presiden (Ahmad Zahid) ada pandangan, timbalan presiden (Mohamad) juga ada pandangan, tapi mereka juga (sedang mendapatkan) maklum balas.

"Kita sedang mencari maklum balas," katanya dalam sidang media di Melaka, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini memberitahu parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun PAS semasa menempuh PRN Melaka - yang belum ditetapkan tarikhnya itu.

Dalam sebuah program bual bicara beberapa hari lalu Ahmad Zahid memberitahu pendirian tersebut selepas ditanya pengacara mengenai status Muafakat Nasional yang dimeterai Umno bersama PAS.

"Oleh kerana Muafakat Nasional ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk Muafakat Nasional itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK (pilihan raya kecil) yang pernah diadakan.

"Biarlah Umno bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik," kata Ahmad Zahid.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu juga bercakap mengenai bagaimana Umno "dikhianati berulang kali" dan parti itu memilih untuk bergerak secara sendiri semasa berhadapan dengan pilihan raya.

Ahmad berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi tidak membuat keputusan mengenai kedudukan parti itu untuk kerjasama dengan mana-mana parti.

Katanya, Umno akan membuat keputusan mengenainya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan mengenai tarikh PRN Melaka.

"Oleh kerana kita baru dapat maklum balas, kita tak tahu bila lagi pilihan raya, jadi kita tak boleh dahului SPR," katanya.