Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Isu peneroka Hutan Simpan Ulu Galas: JPNK bincang dengan k'jaan Kelantan

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat berhubung isu lebih 30 pengusaha kebun yang meneroka secara haram kawasan Hutan Simpan Ulu Galas di Gua Musang.

Pengarahnya Abdul Khalim Abu Samah berkata malah tindakan selanjutnya akan dilakukan selepas pihaknya mencapai persetujuan bersama-sama kerajaan Kelantan serta penyelesaian yang adil bagi semua pihak termasuk pekebun terlibat.

"Bagaimanapun, pendekatan kita (JPNK dan kerajaan Kelantan) tidak sama seperti yang berlaku di Pahang baru-baru ini (isu peneroka haram)...sebab itu, JPNK mengeluarkan notis untuk mereka mengosongkan kawasan itu," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, dilaporkan lebih 30 pengusaha durian Musang King dan pokok getah di kawasan tanah seluas 90 hektar di Kampung Pulai, Gua Musang menerima notis pengosongan selepas 25 tahun mengusahakannya.

Notis pengosongan bertarikh 30 Sept itu dikeluarkan JPNK dengan dakwaan kumpulan pekebun berkenaan telah meneroka Hutan Simpan Ulu Galas di Gua Musang secara haram dan dikehendaki mengosongkannya dalam tempoh 14 hari.

- Bernama