Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Solat di masjid, surau Kelantan kapasiti penuh mulai esok

Kelantan yang kini dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan had bilangan jemaah untuk menunaikan solat fardu lima waktu termasuk solat Jumaat mengikut kapasiti sebenar masjid, surau dan musala di seluruh negeri ini, mulai esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata namun kedudukan antara para jemaah adalah berdasarkan penjarakan fizikal 1.5 meter.

"Aktiviti solat Jumaat turut dibenarkan di halaman atau perkarangan masjid berdasarkan penjarakan fizikal 1.5 meter.

"Kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir wajib menerima dos lengkap suntikan vaksin," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, bagi penerima vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac wajib melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua, manakala bagi penerima vaksin tunggal iaitu Johnson & Johnson dan CanSino perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

"Jemaah yang hadir ke masjid hendaklah menunjukkan bukti sijil digital vaksin melalui aplikasi MySejahtera kepada petugas masjid," katanya sambil menambah kebenaran berkenaan telah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Mohamad Rizam turut berkata kakitangan masjid dan para jemaah yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka dan digalakkan memakai dua lapis pelitup muka, membawa sejadah sendiri serta mengambil wuduk dari rumah masing-masing sebelum ke masjid.

Beliau berkata pihak masjid perlu membuka semua pintu, tingkap dan kipas bagi memastikan sistem pengudaraan yang baik serta selamat dan penggunaan penyaman udara di masjid, surau dan musala adalah tidak digalakkan.

"Semua aktiviti lain seperti majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas dan lain-lain adalah tidak dibenarkan. 

"Bagaimanapun, kelas-kelas pengajian secara dalam talian adalah digalakkan agar pengimarahan masjid dapat diteruskan," tambahnya.

Beliau mengharapkan semua pihak memberi kerjasama dengan ketetapan tersebut dan sekiranya didapati mana-mana masjid, surau dan musala melanggar semua prosedur operasi standard yang telah ditetapkan itu, akan diarahkan tutup.

- Bernama