Speaker arah Wee jelaskan kenyataan bercanggah isu kabotaj
Speaker Dewan Rakyat mengarahkan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong supaya memberi penjelasan terhadap kenyataannya di dewan itu pada 30 September lalu yang dianggap bercanggah dengan jawapan bertulis seorang lagi menteri.
Menurut Azhar Harun, ini susulan tindakan Lim Guan Eng (Pakatan Harapan-Bagan) yang mengemukakan usul pada 11 Oktober lalu, untuk merujuk Wee ke ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas alasan mengelirukan Dewan Rakyat.
“Adalah dipohon agar YB Datuk Seri (Wee) dapat memberikan penjelasan terhadap perkara ini dan menyertakan bukti atau dokumen yang menyokong penjelasan tersebut,” katanya dalam surat bertarikh 11 Oktober lalu.
Sesalinan surat berkenaan juga diberikan kepada Lim yang kemudiannya berkongsikannya dengan pihak media, hari ini.
"Adalah dimaklumkan bahawa Lim telah mengemukakan usul yang diterima supaya YB dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap mengelirukan Dewan Rakyat semasa sesi Jawab Lisan pada 30 September," kata Azhar dalam surat itu.
"Kenyataan tersebut juga dianggap bercanggah dengan jawapan bertulis YB Ketereh merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia (Annuar Musa) pada 5 Oktober," katanya lagi.
Lim, yang juga setiausaha agung DAP telah mengemukakan usul kepada Azhar di bawah Fasal 36 (12) Aturan Mesyuarat kerana menggelirukan Dewan Rakyat, pada Isnin lalu
Pada 30 September, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat bahawa dasar kabotaj bukanlah faktor mengapa Malaysia tidak dilibatkan dalam projek Apricot oleh Facebook dan Google
Bagaimanapun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa memberitahu dalam jawapan tertulis di Dewan Rakyat pada 5 Oktober bahawa dasar kabotaj yang tidak dapat diselesaikan menyebabkan Malaysia tidak dilibatkan dalam projek tersebut.
Dasar kabotaj Malaysia memberi keutamaan kepada kapal Malaysia, antara lain, melakukan kerja pembaikan kabel bawah laut. Peraturan ini dikecualikan semasa kerajaan Pakatan Harapan tetapi dilaksanakan semula semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.
Syarikat gergasi teknologi Amazon, Facebook, Microsoft dan Google telah berulang kali meminta kerajaan mengembalikan pengecualian kabotaj untuk kerja pembaikan kabel bawah laut kerana mengatakan adalah penting untuk memastikan kerja pembaikan yang cepat dan internet yang stabil.
Tambahan pula Telekom Malaysia Bhd milik kerajaan mempunyai kepentingan dalam Asean Cableship Ptd Ltd - usaha sama yang berpusat di Singapura yang memiliki kapal kelas DP2 yang mampu melakukan penyelenggaraan kabel bawah laut.
Telekom Malaysia Bhd dimiliki oleh dana yang dikendalikan oleh kerajaan.
Sebelum projek Apricot, Malaysia juga mengabaikan projek kabel bawah laut Echo dan Bitfrost.
Namun, Wee tetap dengan pendiriannya bahawa tidak ada pengecualian bagi membina kapasiti tempatan dan mengurangkan aliran keluar mata wang asing.
Sebagai ganti, dia berkata kapal asing masih boleh memohon pengecualian dan akan diberi hak untuk melakukan kerja-kerja pembaikan dalam tempoh 48 jam jika tidak ada kapal tempatan melakukan kerja-kerja itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai