Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bersih gesa tubuh j'kuasa tetap Parlimen baru pantau SPR

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa kerajaan meminda Perintah Mesyuarat Dewan Rakyat dan mewujudkan Jawatankuasa Tetap Parlimen baru berkenaan pilihan raya sebagai pemantau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, penubuhan jawatankuasa tetap itu amat penting pada masa ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya di tengah wabak Covid-19, termasuk tiga pilihan raya kecil dan dua pilihan raya negeri yang tertangguh.

"Sebab perlunya Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya dalah kerana sistem dan isu pilihan raya amat penting untuk sistem politik negara dan banyak isu pembaharuan perlu dibincangkan dan diambil tindakan

"Jika ia ditubuhkan sebagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) sahaja, ia mudah dibubarkan dan dihilangkan, seperti yang berlaku kepada JPKP Hal Ehwal Pilihan Raya yang ditubuhkan pada 2019 di bawah pimpinan mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Ariff Yusof setelah berlakunya Langkah Sheraton.

"Kami juga ingin mengulangi semula cadangan kami pada 2019 di mana Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya perlu dipengerusikan oleh wakil rakyat daripada pembangkang serta dianggotai wakil rakyat yang mempunyai komitmen kepada pilihan raya bersih dan adil serta ada kepakaran berkenaan urusan pilihan raya," kata Bersih 2.0 dalam kenyataan hari ini.

Menurut gabungan itu, Mandat Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya perlu merangkumi:

  • Penubuhan jawatankuasa pencalonan yang bebas yang akan menamakan calon pengerusi SPR jika berlaku kekosongan.
  • Menerima, menyemak dan membahaskan laporan tahunan daripada SPR termasuk laporan khusus selepas PRU dan PRK, sebelum laporan tersebut dibentang di Dewan Rakyat dengan ulasan JPKP.
  • Menerima, meneliti dan memeriksa laporan kewangan dan perbelanjaan SPR termasuklah selepas PRU dan PRK.
  • Melaksanakan siasatan berkaitan sebarang isu berkenaan pilihan raya dengan kuasa untuk mensapina saksi bagi memberikan keterangan dan bukti bagi isu yang dibangkitkan. Siasatan perlu dilakukan secara terbuka kepada umum dan disiarkan secara langsung di televisyen ataupun di laman web parlimen sebagaimana siaran sidang Dewan Rakyat.
  • Menyemak sebarang undang-undang dan pindaan undang-undang berkenaan pilihan raya sebelum dibentangkan di Parlimen melalui proses libat urus semua pemegang taruh, terutamanya parti politik, pengundi dan masyarakat madani.
  • Memanggil SPR untuk menjawab soalan di Parlimen berkenaan pentadbiran SPR dan pengurusan proses pilihan raya berbanding soalan tersebut dijawab oleh Menteri bagi memastikan SPR bebas daripada Eksekutif.
  • Memberi cadangan-cadangan bagi reformasi sistem, amalan dan undang-undang pilihan raya.
  • Memanggil pakar-pakar daripada dalam dan luar negara bagi mendapatkan pandangan ketiga terhadap sesuatu isu berkaitan sistem, pelaksanaan dan undang-undang pilihan raya
  • Kami juga menyeru kepada kerajaan supaya memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang terma sembilan JPKP ini supaya orang ramai dimaklumkan kementerian mana dikawal selia oleh JPKP yang mana dan samada terdapat kementerian yang terlepas daripada kawal selia mana-mana JPKP.
  • Peraturan Mesyuarat untuk JPKP juga perlu dipinda dan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi perlu diperuntukan supaya semua JPKP dapat berfungsi secara efektif dan bermakna. BERSIH 2.0 sedia membantu dan memberi kerjasama kepada kerajaan dan Parlimen berkaitan hal-hal pembaharuan ini.
  • Pilihan raya adalah tonggak kepada demokrasi dalam negara dan sangat mustahak dijalankan dengan telus, bersih dan adil bagi memastikan persaingan politik di Malaysia berlangsung secara sihat, matang, progresif dan demokratik.