Mesyuarat khas SPR Isnin depan bincang tarikh PRN Melaka
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Isnin depan.
Dalam satu kenyataan, SPR berkata mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh pengerusi suruhajaya itu, Abdul Ghani Salleh.
"Ia akan membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya DUN Melaka seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya," katanya.
Menurut SPR, satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut.
Pilihan raya negeri Melaka mesti diadakan selewat-lewatnya pada 3 Disember iaitu 60 hari selepas dewan undangan negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober lalu.
Bagaimanapun PRN boleh ditangguhkan sekiranya darurat setempat diisytiharkan di negeri itu.
Kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada darurat akan diisytiharkan di Melaka atau sebaliknya.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah - yang merupakan pemangku Agong ketika ini - telah diberi taklimat mengenai situasi di Melaka oleh Peguam Negara, Idrus Harun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai