Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

JAS minta maklum balas orang ramai mengenai tapak pelupusan Lynas di Gebeng

Jabatan Alam Sekitar (JAS) meminta maklum balas orang ramai mengenai rancangan Lynas untuk membina kemudahan pelupusan tetap (PDF) di Kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan, Pahang.

Laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) daripada projek yang dicadangkan itu juga telah dimuat naik ke laman web JAS untuk penelitian orang ramai.

Jabatan itu di laman Facebooknya, mengumumkan perkara ini dan menjemput orang ramai memberikan maklum balas mereka mengenai projek tersebut, yang akan menyaksikan pelupusan residu pembersihan air radioaktif (WLP) dari kilang nadir bumi Lynas.

Tapak yang dicadangkan itu terletak di Lot 31375, kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan yang terletak 30m dari Lynas Advanced Materials Plant (Lamp).

Menurut JAS, projek ini merangkumi 25 hektar dan akan memakan masa lima tahun untuk disiapkan.

Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB) adalah kontraktor untuk PDF tersebut, manakala laporan EIA disiapkan oleh syarikat perunding Dr Nik & Associates Sdn Bhd.

Orang ramai boleh melihat laporan EIA bermula semalam (12 Okt) hingga 10 Nov, manakala tarikh tutup untuk memberikan maklum balas adalah pada 25 Nov.

Sebagai alternatif, orang ramai boleh mendapatkan laporan EIA di ibu pejabat JAS di Putrajaya, pejabat JAS Pahang dan di Majlis Bandaraya Kuantan.

Pada Februari 2020, kerajaan Pakatan Harapan ketika itu membenarkan Lynas memperbaharui lesennya dengan beberapa syarat, termasuk membina PDF dalam masa satu tahun.

Pada mulanya Lynas merancang untuk membina PDF di hutan simpan Bukit Ketam, tetapi rancangan itu ditolak oleh JAS.

Kerajaan telah dua kali bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir pembinaan PDF - dari Mac hingga September 2021, dan kemudian hingga 2022 Mac.

Pada 24 Julai, Malaysiakini melaporkan syarikat perlombongan Australia sedang mencari tapak baru untuk membina PDF.

Namun, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh memberi amaran bahawa terdapat risiko banjir di kawasan yang dicadangkan dan kemungkinan risiko pencemaran air bawah tanah, serta mencadangkan agar PDF tidak dibina di Gebeng.