Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH tetap mahu kemelut politik Melaka diselesaikan melalui rundingan

Pakatan Harapan (PH) terus mendesak agar kemelut politik di Melaka tidak diselesaikan melalui pilihan raya negeri (PRN) atau melalui pengisytiharan darurat sementara.

Dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Presiden PH hari ini gabungan itu berkata perbincangan perlu diadakan demi memastikan perlembagaan negeri "ditegakkan dan dihormati" oleh semua melalui pembentukan kerajaan sepatutnya.

"Oleh itu, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk kerajaan caretaker diwakili oleh golongan yang mendapat sokongan majoriti Adun," katanya.

Kemelut pentadbiran Melaka kini menjadi perhatian ramai selepas dewan undangan negeri (DUN) dibubarkan apabila ketua menterinya Sulaiman Md Ali kehilangan majoriti.

Bagaimanapun PH mempertikaikan prosedur pembubaran tersebut kerana nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka didakwa dilakukan ketika sokongan majoriti kepada Sulaiman sudah berakhir.

Sementara menunggu langkah selanjutnya - sama ada dilaksanakan PRN atau kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan sementara pilihan raya - Melaka ditadbir oleh kerajaan sementara yang diketuai Sulaiman.

Bagaimanapun PH beranggapan tidak wajar Adun Lendu itu terus mengetuai kerajaan walaupun bersifat sementara.

Majlis Presiden PH berkata mereka meneliti kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka semalam khususnya berhubung penamaan Sulaiman sebagai ketua menteri yang mengetuai kerajaan caretaker Melaka.

"Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mengakui Perlembagaan Melaka tidak memperuntukkan fungsi dan peranan sebuah kerajaan caretaker dan merujuk konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel," katanya.

Menurut Majlis Presiden PH, mereka menolak pembubaran DUN dan menganggapnya sebagai tidak berperlembagaan.

Pembubaran itu, tambahnya, dibuat ketika Melaka masih menghadapi wabak Covid-19 dan pada masa sama ada gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti Adun.

Oleh demikian PH menolak penamaan Sulaiman selaku ketua menteri caretaker Melaka kerana beliau jelas hilang sokongan majoriti Adun Melaka sebelum DUN dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai kerajaan negeri," katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Presiden Amanah), Lim Guan Eng (Setiausaha DAP) dan Wilfred Madius Tangau (Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif - Upko).