'Kajian semula persempadanan pilihan raya ikut keadaan, pindaan undang-undang'
Urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya bermula mengikut keadaan, termasuk tamat tempoh tidak kurang selang lapan tahun daripada tarikh siap urusan kajian semula sebelumnya, serta pindaan undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan kajian semula sempadan setiap bahagian pilihan raya.
Wan Junaidi berkata ia terbahagi kepada tiga unit mengikut undang-undang Fasal (6) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu Unit Negeri-Negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya), Unit Negeri Sabah dan Unit Negeri Sarawak.
“Jika ia berkaitan dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh memulakan urusan kajian persempadanan semula setelah tamat tempoh tidak kurang selang lapan tahun daripada tarikh siapnya urusan kajian semula sebelumnya.
“Namun sekiranya SPR memulakan urusan itu, ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Junaidi berkata bagi maksud itu, selang tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan Sarawak akan berakhir pada 2023, Sabah pada 2025 manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu pula pada 2026.
Dia menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu cadangan kerajaan untuk menambah kawasan pilihan raya atau persempadanan semula, selepas pertambahan pemilih yang banyak pada suku ke-3 Tahun 2021.
Selain itu, Wan Junaidi berkata ia turut melibatkan pindaan undang-undang dan apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, SPR hendaklah melaksanakan urusan kajian persempadanan semula dalam tempoh dua tahun dari tarikh pindaan undang-undang itu berkuat kuasa, sama ada penambahan atau pengurangan kerusi dewan atau pewujudan wilayah baru.
Secara dasarnya, dia berkata setiap pemilih akan mengundi berdasarkan bahagian pilihan raya yang ditetapkan namun jumlah pemilih dalam sesuatu bahagian yang lebih kurang sama banyak turut mengambil kira faktor-faktor seperti kesulitan atau kesukaran perhubungan, pengangkutan, keluasan kawasan, demografi serta bentuk geografi.
Katanya, setiap bahagian adalah unik dan berbeza dari segi demografi, keluasan kawasan dan bentuk geografi dan ia juga tidak boleh disamakan atau dibandingkan dengan bahagian yang lain.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai