Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Mengapa jaguh Melayu-Islam membisu pendedahan Kertas Pandora’

PARLIMEN l Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim terus menempelak pemimpin Umno, Bersatu, dan PAS kerana sikap mendiamkan diri mereka berhubung pendedahan Kertas Pandora mengenai pemillikan aset kewangan luar pesisir.

Katanya, sikap membisu itu adalah mengejutkan kerana ia mengkhianati nilai-nilai Melayu-Islam.

“Kalau kita ini semua jaguh Melayu, adakah budaya Melayu mengizinkan rompakan harta begitu besar.

“Hasilnya disebut sama ada peniagaan halal, rasuah, pembalalakan, drug trafficking (penyeludupan dadah), women trafficking (pemerdagangan wanita)?

“Hal ini belum dengar daripada pejuang Melayu dan juga pejuang Islam. Ada percanggahan antara apa yang dilaungkan pihak perjuangan hak tapi kita izinkan kebatilan,” katanya di Dewan Rakyat, hari.

Menurut Anwar, bahawa ada pemimpin dibenarkan untuk memunggah kekayaan ke luar negara, sedangkan negara terus miskin, jutaan rakyat menggangur dan ramai yang kelaparan.

Anwar (PH-Port Dickson) berkata demikian ketika membantah keputusan speaker Dewan Rakyat Azhar Harun yang menolak rayuannya untuk membahaskan Kertas Pandora atas dasar teknikal.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon, berkata rayuan - yang dikemukakan semalam itu - ditolak kerana tidak memenuhi notis dua hari. Hari ini adalah hari terakhir untuk sesi debat semasa.

Sementara itu, ketika mencelah bidasan Anwar itu, Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) secara berseloroh mendakwa ketua pembangkang itu cemburu terhadap mereka yang memiliki kekayaan di luar negara.

“Port Dickson jangan la cemburu. Kita nak belajar macam mana nak cari duit, saya (sudah) empat penggal (menjadi anggota) parlimen (tetapi) tak ada juta duit,” kata presiden amanah itu.

Anwar, sebaliknya menasihatkan Mohamad supaya tidak belajar perkara-perkara seperti itu yang hanya akan membawa kerugian.

“Saya saran Kota Raja jangan belajar hal ini. Kesannya, org Islam merempat, orang Melayu susah.

“Negara akan muflis hancur,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa dia hanya mahukan perbahasan, dan agar kerajaan memberi ruang untuk siasatan ke atas aliran keluar modal oleh rakyat Malaysia.