K’jaan Sabah dicadang perkenal 'sistem penalti' tingkat kadar vaksinasi
Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan mencadangkan supaya kerajaan negeri Sabah memperkenalkan dua strategi baru bagi meningkatkan kadar vaksinasi di negeri itu.
Cadangan itu hadir selepas kerajaan pusat mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula hari ini, dengan Sabah hanya akan memutuskan pada Rabu ini sama ada akan mengikut jejak langkah kerajaan pusat atau sebaliknya.
Rahman yang juga ketua Umno Sabah bahagian Tuaran itu mencadangkan agar kebenaran rentas daerah dan negeri hanya boleh diizinkan untuk ke kawasan yang telah mencapai kadar 80 peratus vaksinasi lengkap.
Menyentuh isu kadar peratusan vaksinasi di Sabah yang masih rendah ekoran terdapat penduduk yang enggan divaksinasi atau bersikap tidak endah, Rahman menyarankan supaya kerajaan negeri mewujudkan sistem penalti atau ganjaran untuk menyelesaikan isu itu.
“Salah satunya ialah penerima bantuan kewangan kerajaan negeri mestilah menunjukkan mereka sudah divaksinasi lengkap.
“Sistem penalti/ganjaran ini perlu kerana usaha kerajaan untuk merayu rakyat untuk divaksinasi kadang-kadang tidak berkesan dalam situasi-situasi tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Sistem penalti/ganjaran ini sudah digunakan di seluruh dunia. Malah di peringkat Malaysia pun sistem ini sudah digunakan,” katanya yang mengambil contoh kelebihan dibenarkan untuk keluar makan di kedai makan, melancong ke luar negara dan merentas negeri.
Oleh itu, dia menggesa supaya Ketua Menteri Sabah Hajiji Mohd Noor meminta agensi-agensi kerajaan negeri untuk melihat dan belajar dari kejayaan yang dicapai oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terutamanya dari segi mempermudah program jangkauan terhadap rakyat.
Ini memandangkan Sabah masih berada di tangga kedua tercorot dalam statistik vaksinasi lengkap penduduk keseluruhan di kalangan negeri-negeri di Malaysia iaitu 48.3 peratus.
“Sarawak dengan topografi dan geografi yang juga begitu mencabar telah jauh meninggalkan Sabah dari segi kadar vaksinasi.
“Selain itu, diharapkan ketua menteri mempertimbangkan sistem penalti atau ganjaran untuk meningkatkan kepatuhan untuk divaksinasi di kalangan penduduk Sabah,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai