Kutipan zakat di Wilayah Persekutuan meningkat 11% tahun lalu
Kutipan zakat di tiga wilayah persekutuan mencatat sebanyak RM800 juta tahun lepas, meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya, meskipun berdepan pandemik COVID-19.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Nizam Yahya berkata zakat perniagaan menyumbang kutipan tertinggi berbanding zakat pendapatan.
“Ketika pandemik bermula pada awal 2020, kita menjangkakan kutipan zakat akan ada penurunan, namun berlaku sebaliknya.
“Berdasarkan statistik, pada tahun-tahun sebelumnya, peningkatan kutipan zakat adalah pada kadar empat hingga enam peratus, namun tahun lepas peningkatan kutipan begitu ketara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Malam Apresiasi Media 2021 di Labuan malam tadi.
Mohd Nizam berkata MAIWP akan menggunakan 80 peratus daripada jumlah RM1.1 bilion peruntukan sedia ada untuk pelbagai skim bantuan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada 2022.
Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata ‘MAIWP Healthcare Clinic’ akan diwujudkan di Labuan bagi membantu golongan asnaf menerima rawatan perubatan.
“Buat masa ini kita ada 22 MAIWP Healthcare Clinic di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan kita akan lebarkan kemudahan rawatan ini ke Labuan. Kita akan buat perancangan ke arah itu,” katanya.
Pada majlis itu, Mohd Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media di Labuan atas kerjasama dalam pelaporan berita sama ada sebelum dan semasa pandemik COVID-19.
“Banyak program dan skim bantuan MAIWP dilaporkan oleh pengamal media di pelbagai platform, dan ini sekurangnya membantu MAIWP dalam melebarkan lagi skim bantuannya kepada yang layak,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai