Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Apa jadi dengan komputer riba untuk pelajar, tanya MP Kepong

Hanya tiga daripada 13 sekolah yang ada dalam kawasan parlimen Kepong sudah menerima komputer riba yang dijanjikan kerajaan, kata Lim Lip Eng hari ini.

Ahli parlimen DAP itu menambah di kawasan parlimen Segambut pula hanya dua buah sekolah - dengan jumlah komputer riba yang diagihkan sebanyak 60 unit - menerima bantuan tersebut.

Di kawasan parlimen Cheras, tambah Lim, 45 unit komputer riba diserahkan kepada sebuah sekolah manakala 12 unit komputer riba diberikan kepada sebuah sekolah di kawasan Bukit Bintang.

"Apakah nasib pelajar-pelajar yang memerlukan di sekolah lain? Sudahlah pemberian itu pun begitu lambat prosesnya," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan untuk mengagihkan 150,000 unit komputer riba kepada pelajar yang memerlukan khususnya daripada keluarga B40. Inisiatif yang dibuat melalui Yayasan Hasanah itu diumumkan ketika Belanjawan 2021 pada November 2020.

Pada 6 Jun lalu Menteri Pendidikan Radzi Jidin memberitahu Kementerian Pendidikan Malaysia sudah mengagihkan hampir 13,000 peranti termasuk komputer riba dengaan baki serahan dijangka selesai dibuat pada akhir Sept 2021.

Gambar arkib

"Sebanyak 12,887 unit telah diagihkan ke 95 buah sekolah...manakala 40,290 agihan lagi akan selesai pada 12 Jun.

"Baki agihan 96,823 unit lagi dijangka selesai pada akhir September 2021," katanya semasa mengadakan sidang media empat bulan lalu

Kata Lim tidak dapat difahami bagaimanakah kerajaan menguruskan pemberian komputer riba berkenaan kepada pelajar yang memerlukan ketia ada banyak sekolah yang tercicir.

Dakwanya apa yang berlaku itu menjadi bukti jelas bahawa projek seperti itu dirangka oleh individu yang tidak menyedari realiti yang berlaku dalam kalangan rakyat biasa.

Dasar berkenaan katanya dirangka pihak yang berkenaan dari kamar yang mewah dan selesa.

"Pada ketika pandemik menjejaskan pembelajaran anak-anak, mereka hanya melakukan kerja sekadar memenuhi kuota dan nombor sahaja.

"Tambahan pula, komputer riba percuma itu juga bukanlah dibeli dengan wang kerajaan, malahan adalah sumbangan daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka," katanya.

Tuntutan yang mendesak sekarang, kata Lim, ialah kedudukan pelajar di sekolah yang belum menerima komputer riba masing-masing.

"Apakah mereka itu sebenarnya layak untuk menerimanya, dan jika ya, bagaimanakah proses untuk mereka mendapatkan peranti tersebut?" katanya.