Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Zahid: Tiada Umno baru, tiada Umno lama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengulas laporan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li yang bermesyuarat bersama sekumpulan veteran Umno bagi membincangkan usaha mewujudkan 'Umno lama' semalam.

"Kami, tiada Umno baru tiada Umno lama. Kami ambil perkiraan, semua peringkat umur termasuk veteran. Jika ada perbezaan pendapat, ini sering diraikan setiap kepimpinan. 

"Saya tidak fikir perlunya semangat untuk hidupkan sesuatu parti yang telah diharamkan pada 1988.

"Semangat itu perlu disuntik dalam Umno yang sekarang. Mari kita berpadu supaya kita dapat bergerak dalam landasan yang sama.

"Bukan Umno, Barisan Nasional sahaja harus diperkukuhkan tapi tiba masanya kita hentikan perbezaan ideologi politik demi negara tercinta," katanya, lapor Bernama selepas menyertai program vaksin ke rumah pesakit-pesakit terlantar bersama Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad di Bagan Datuk hari ini.

Tengku Razaleigh Hamzah semalam dilaporkan mahu menghidupkan semula 'Umno lama' yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988.

"Hasrat kami untuk menghidupkan semula adalah agar Melayu kembali bersatu.

"Umno sekarang pecah. Akhir-akhir ini banyak orang merasakan bahawa Umno baru ini sudah hilang taring. Dan mungkin susah menghadapi pilihan raya.

"Keadaan sudah berlainan. Jadi, kita harap dapat kita ajak semua pihak bersama mewujudkan perpaduan di kalangan orang Melayu," kata Razaleigh.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kewujudan terlalu banyak parti politik akan menyebabkan rakyat muak dengan kepelbagaian ideologi, perbezaan pendapat yang akan membawa ekonomi negara terus dalam fasa ketidaktentuan.

Katanya, landskap politik negara seharusnya terus maju ke hadapan dengan mengelakkan penambahan parti politik.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, seseorang itu bebas untuk menubuhkan sebarang persatuan, pertubuhan mahupun parti politik.

"Tapi kita harus lihat jika negara kita mempunyai terlalu banyak parti politik, akan menimbulkan kepelbagaian dan tidak ada satu parti dominan yang menulang belakangi sistem demokrasi bagi membentuk kerajaan," katanya lagi.

Untuk rekod, pada Jun 1987, satu tindakan guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 ahli Umno di mana mereka telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung Umno April 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal, serta tidak mempunyai kesan.

Selepas perbicaraan hampir tujuh bulan, pada 4 Feb 1988 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa Umno sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Susulan itu, presiden Umno ketika itu Dr Mahathir Mohamad mendaftar parti baru yang dikenali sebagai 'Umno baru'.