Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gabungan NGO mahu lebih banyak PSC pantau kerajaan

Sebuah gabungan kumpulan masyarakat madani mahu kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) - yang baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembaharuan institusi - untuk menambah bilangan jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC).

Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional (SCPP) berkata, sungguhpun senarai baru anggota PSC akan diumumkan minggu depan, terdapat beberapa isu yang masih belum jelas.

"Pertama, adakah bilangan JPK akan ditambah dengan secukupnya dan tidak berulang keadaan seperti di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu?

"Adakah setiap portfolio kementerian akan dipantau oleh sesebuah PSC?" soalnya dalam kenyataan.

Menurut gabungan itu, status quo sekarang menunjukan lapan kementerian terlepas daripada pemantauan sebarang PSC dan ia sepatutnya tidak berulang lagi.

"Adakah setiap PSC wajar menjaga lebih daripada dua kementerian? Keadaan seperti di mana sebuah PSC Pembangunan Infrastruktur menjaga empat buah kementerian penting; Kerja Raya, Pengangkutan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Pembangunan Luar Bandar tidak sepatutnya terjadi lagi," katanya.

Kerajaan BN-PN yang diketuai oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bulan lalu menandatangani perjanjian MoU dengan PH di mana kedua-dua belah pihak bersetuju agar pembaharuan dilaksanakan di negara ini.

Salah satu pembaharuan itu adalah melaksanakan reformasi parlimen, termasuk penstrukturan semula PSC dan menambahkan bilangannya mengikut keperluan.

Kedua-dua pihak juga sepakat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu MoU untuk mengawasi pelaksanaan perjanjian tersebut, yang terdiri daripada anggota kerajaan dan PH.

Had anggota PSC

SCPP juga menimbulkan persoalan apakah jumlah anggota parlimen yang menganggotai PSC hanya akan dihadkan kepada 82 orang agar ahli parlimen Penyokong Kerajaan (backbenchers) tidak dilangkaui Ahli Parlimen Pembangkang.

Kerajaan mempunyai 114 ahli parlimen, di mana 73 orang terdiri daripada menteri dan timbalan menteri, yang tidak boleh menduduki PSC.

Ini bermakna hanya tinggal 41 ahli parlimen kerajaan yang layak, manakala terdapat seramai 106 ahli parlimen di pihak pembangkang.

"Jika keadaan ini berlaku, seramai 65 ahli parlimen pembangkang akan dinafikan peluangnya untuk terlibat dalam proses pantauan terhadap Eksekutif dan pembentukan dasar dalam masa lapan ke sembilan bulan setahun apabila Dewan tidak bersidang," katanya.