Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ku Li jumpa veteran Umno bincang hidupkan semula 'Umno lama'

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengadakan mesyuarat dengan beberapa veteran Umno dengan hasrat menghidupkan semula 'Umno lama' yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988.

"Hasrat kami untuk menghidupkan semula adalah agar Melayu kembali bersatu.

"Umno sekarang pecah. Akhir-akhir ini banyak orang merasakan bahawa Umno baru ini sudah hilang taring. Dan mungkin susah menghadapi pilihan raya.

"Keadaan sudah berlainan. Jadi, kita harap dapat kita ajak semua pihak bersama mewujudkan perpaduan di kalangan orang Melayu," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mesyuarat itu hari ini.

Terdahulu, mesyuarat yang diadakan di kediamannya di Kuala Lumpur bermula 3.30 petang tadi turut dihadiri beberapa pemimpin dari kalangan Pemuda Umno.

Antara yang hadir adalah bekas timbalan menteri kesihatan Suleiman Mohamed, bekas timbalan menteri pembangunan usahawan Mohd Khalid Yunus dan bekas timbalan menteri pertahanan Zainal Abidin Zin.

Katanya, Umno hari ini tidak sama dengan Umno yang diwujudkan pada tahun 1946.

"Umno lama tak pernah mati. Umno yang ada hari ini ditubuhkan pada tahun 1988. Umno yang kami bincangkan tadi ditubuhkan tahun 1946 yang dikatakan telah diharamkan.

"Umno tak pernah diharam. Padahal, Umno tidak pernah melanggar undang-undang persekutuan. Didakwa sebagai membatalkan pendaftaran sebenarnya tak pernah berlaku," katanya.

Tambahnya, sambutan untuk mengaktifkan semula 'Umno lama' sangat menggalakkan.

"Kami telah membuat beberapa mesyuarat sebelum ini. Sambutannya sangat mengalakkan.

"Kami akan membuat beberapa kajian sebelum menghidupkan semula Umno lama," katanya sambil beliau dinasihat bahawa tidak perlu berjumpa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mengaktifkan semula Umno lama.

Untuk rekod, pada Jun 1987, satu tindakan guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 ahli Umno di mana mereka telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung Umno April 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal, serta tidak mempunyai kesan.

Selepas perbicaraan hampir tujuh bulan, pada 4 Feb 1988 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa Umno sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Susulan itu, presiden Umno ketika itu Dr Mahathir Mohamad mendaftar parti baru yang dikenali sebagai 'Umno baru'.

Sementara itu, bekas exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris turut kelihatan di kediaman Tengku Razaleigh, walaupun tidak menyertai mesyuarat itu hari ini.

"Saya sokong Umno lama dihidupkan semula," katanya kepada pemberita.