PH adalah satu pilihan, kata bekas Ketua Menteri Melaka
Bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron yang baru dipecat Umno semalam tidak menolak kemungkinan menyertai Pakatan Harapan (PH) dan menjadikan gabungan pembangkang itu sebagai salah satu pilihan sedang dipertimbangkannya.
Adun Sungai Udang itu bahkan memberikan bayangan kesediaannya menggalas jawatan ketua menteri baru jika dia menjadi calon pilihan PH.
Akuinya, “gabungan baru” itu - dipercayai merujuk PH bersama empat bekas Adun yang menarik sokongan kepada pentadbiran BN-PN di Melaka - pastinya menempuh jalan mencabar kerana mempunyai latar belakang yang pelbagai.
“Namun jika mereka (PH) memilih saya, ia mungkin kerana menepati standard kualiti yang diharapkan oleh mereka, bukan dengan hanya ditunjuk-tunjuk dan menjadi budak suruhan," katanya, dipercayai sebagai satu bentuk kiasan yang ada kaitan dengan kemelut politik di negeri itu sekarang.
Pun begitu Idris berkata selepas dipecat Umno dia masih belum menyertai mana-mana parti politik dan kekal bebas buat masa ini.
“PH adalah satu option (pilihan), dan ramai pemimpin parti menghubungi saya bertanya khabar dan berita.
"Sama-samalah kita tunggu. Biarlah kemelut ini selesai dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Isnin, Idris bersama tiga Adun yang lain menarik sokongan mereka daripada kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali. Antara lain mereka menyebut krisis kepemimpinan berkenaan berlaku ekoran campur tangan 'luar' dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Ada kuasa lagi tinggi
Tidak dinyatakan dengan jelas siapakah pihak luar yang dimaksudkan oleh mereka. Namun Idris dipetik media sebagai berkata tidak boleh ada "dua singa di atas satu gunung" di Melaka.
Selain Idris, Norhizam Hassan Baktee (bekas Adun Pengkalan Batu) dan Nor Azman Hassan (bekas Adun Pantai Kundor) juga dipecat Umno, manakala Noor Effandi Ahmad (bekas Adun Telok Mas) pula dipecat Bersatu.
Mereka pada mulanaya mahu membentuk kerajaan baru bersama PH namun DUN Melaka dibubarkan pada 5 Okt selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam dikatakan menerima cadangan Sulaiman.
Ia kemudian membuka laluan untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam tempoh 60 hari.
Pembubaran itu diumumkan Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh yang juga speaker DUN dalam sidang media yang turut dihadiri Sulaiman.
“Akhirnya hari ini seluruh negara dapat melihat siapa yang lebih sudu daripada kuah apabila ketua menteri yang sepatunya membuat pengumuman-pengumuman penting hanya berdiam diri sebaliknya ada orang lain pula yang hidung tak mancung pipi tersorong-sorong,” kata Idris mengulas pengumuman tersebut.
Kata Idris, minit mesyuarat boleh membuktikan yang dia merupakan exco yang paling lantang menegur ahli mesyuarat termasuk Sulaiman agar mereka menghormati mesyuarat tertinggi dalam negeri.
Namun katanya, ada lagi “kuasa tertinggi” selepas itu.
Beberapa hari memudian Idris yang turut pernah dilantik BN menjadi timbalan menteri pengajian tinggi mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PH Anwar Ibrahim.
Ketika dihubungi, Idris memberitahu selain Anwar dia turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Putra Ibrahim Ali.
Mengulas mengenai pemecatannya, Idris mengkritik keputusan itu dengan menyifatkannya seperti hukuman terpilih.
Idris membangkitkan bahawa Rauf dan Timbalan Pengerusi Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad ada bertemu DAP bagi menyelamatkan kerajaan Melaka yang hampir tumbang, yang katanya bertentangan dengan dasar parti ‘No DAP No Anwar’.
“Saya yakin mereka akan selamat daripada sebarang tindakan. Hak untuk didengar dan natural justice (keadilan asasi) nampaknya tidak dihayati,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai