Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lelaki bunuh ibu bapa akan dihantar jalani pemeriksaan psikiatri

Lelaki yang dipercayai membunuh ibu dan bapanya di Kampung Kemahang Hulu, Benta di Pahang pada Isnin lepas akan dihantar menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Yusri Othman berkata suspek berumur 31 tahun itu masih direman dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis juga percaya suspek berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian memandangkan ujian air kencingnya didapati positif," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama di Kuantan hari ini.

Pada 4 Okt lepas, sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai ditetak anak lelaki mereka dengan menggunakan parang dan kejadian didakwa berlaku selepas suspek berbual bersama bapanya mengenai ilmu agama dan ketuhanan.

Dalam kejadian sekitar 10.30 malam itu, suspek dikatakan telah mengambil parang yang berada di dalam bilik dan menetak serta menikam bapanya berusia 68 tahun sebelum melakukan tindakan yang sama kepada ibunya, 64 tahun.

Suspek yang tidak bekerja telah bertindak keluar rumah dalam keadaan berlumuran darah dan ditahan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

- Bernama