Kemelut di Melaka sepatutnya tak perlukan PRN, kata PH
Apabila Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka baru-baru ini masih ada jalan penyelesaian yang sepatutnya boleh diteroka bagi mengekalkan kestabilan politik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari berkata membubarkan DUN dan membuka kepada kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) diadakan bukanlah satu-satunya jalan yang ada.
Mengakui Yang di-Pertua Negeri memiliki kuasa membubarkan DUN, Adly berkata sebelum ia dibuat pihak yang memiliki majoritilah sepatutnya diambil kira dan didengar pandangan mereka.
"Bagi saya masih banyak penyelesaian yang ada bagi memastikan kestabilan politik di Melaka," katanya pada sidang media di Melaka yang disiarkan secara langsung melalui pelbagai platform hari ini.
Pada 4 Okt lalu bekas ketua menteri Melaka, Idris Haron, bersama tiga Adun lain membatalkan sokongan mereka kepada Sulaiman sebagai ketua menteri. Tindakan itu menyebabkan Adun Lendu itu kehilangan majoriti di DUN Melaka.
Ia sedikit sebanyak mengulangi insiden bagaimana Adly dijatuhkan daripada jawatannya sebagai ketua menteri ke-11 Melaka pada 2 Mac tahun lalu dengan berpaling tadahnya beberapa Adun kerajaan.
Bagaimanapun, berbeza daripada kejatuhan kerajaan PH sebelum ini, Sulaiman yang juga Adun Umno kehilangan sokongan majoriti melalui langkah diambil Adun yang sama parti dengannya.
Nasihat tak bertanggungjawab
Untuk rekod Idris merupakan ketua menteri ke-10 Melaka. Jatuhnya PH dan Adly membuka jalan kepada Sulaiman menjadi ketua menteri yang baru.
Menurut Adly PH Melaka memang bersedia untuk menghadapi PRN bagi mengembalikan hak rakyat memberikan mandat kepada pihak yang dirasakan wajar menjadi kerajaan negeri.
"Cuma bagi PH, kami memang dukacita apabila kerajaan sedia ada hilang kepercayaan, mereka tidak menggunakan garis perlembagaan dan proses yang betul bagi memastikan kestabilan politik dalam negeri dan negara," katanya.
Tambah Adly PRN bukanlah keutamaan buat PH ketika ini kerana gabungan itu berpendapat apa yang perlu dipentingkan ialah rakyat Melaka.
Ditanya kemungkinan darurat diisytiharkan bagi mengelak PRN diadakan, Adly berkata PH berpendapat ia bukanlah pilihan yang baik.
"Bagi saya mengheret Melaka kepada darurat adalah sesuatu yang cukup buruk bagi rakyat kerana ia memberi persepsi cukup negatif buat Melaka kerana kita tahu Melaka dalam proses beralih fasa (dalam Pelan Pemulihan Negara)," katanya.
Menurut Adun Bukit Katil itu, dengan adanya darurat juga imej Melaka dan ekonomi negeri juga akan terjejas.
"Kita baru saja buka pintu negeri dan darurat tidak sepatutnya dilihat sebagai cara melindungi rakyat (ketika ini)," katanya.
Sementara itu Adly berkata Sulaiman "tidak bertanggungjawab" kerana menasihatkan Mohd Ali membubarkan DUN ketika dia sudah hilang sokongan majoriti.
"Yang di-Pertua Negeri Melaka (Mohd Ali) juga sewajarnya tidak bertindak terburu-buru membubarkan DUN sebelum mendengar pandangan majoriti Adun (daripada PH dan dan empat Adun yang tidak lagi bersama kerajaan)," katanya.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan PH menguasai 11 daripadanya. Apabila Idris bersama tiga Adun yang lain menarik balik sokongan daripada Sulaiman, BN-PN memiliki 13 kerusi berbanding PH dan empat Adun terbabit yang membentuk 15 kerusi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai