Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Radzi laporkan ke polis penyebaran 'gambar palsu'

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin membuat laporan polis susulan penyebaran sekeping gambar yang memaparkan dirinya bersama empat individu lain tanpa penjarakan fizikal.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, menteri kanan itu menafikan kejadian tersebut, malah dia menegaskan bahawa gambar tersebut adalah "palsu".

"Saya dimaklumkan tentang satu hantaran Facebook yang tular bersama sekeping gambar yang menunjukkan seolah-olah langsung tiada penjarakan fizikal sewaktu saya mengadakan satu sidang akhbar.

"Setelah disemak, gambar tersebut sebenarnya adalah gambar palsu," katanya.

Menjelaskan perkara itu Radzi berkata, selain Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan Exco Pendidikan Terengganu, Satiful Bahari Mamat, tiada sesiapa berada di sebelah ketika sidang media di Sekolah Menengah Sains Dungun pada 3 Okt lalu.

"Tindakan berniat jahat pemilik akaun tersebut adalah amat tidak bertanggungjawab. Laporan polis telah pun dibuat," katanya.