Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saranan Zahid bubarkan DUN bersifat dangkal - PKR Melaka

Saranan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi supaya DUN Melaka dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negeri itu disifatkan sebagai dangkal.

Dalam kenyataan media, Ketua Penerangan PKR Melaka Muhammad Asri Ibrahim turut mengecam kenyataan Zahid yang didakwa sebagai tidak konsisten jika dibandingkan dengan kemelut di Perak.

"Kenyataan bersifat dangkal daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa perlunya diadakan Pilihan Raya Negeri untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku didalam negeri Melaka dilihat seperti kebudak-budakan dan bersifat mementingkan diri tanpa memikirkan implikasi yang akan berlaku kepada rakyat.

"Semasa berlaku krisis pertukaran kerajaan di Perak misalnya, kepimpinan Umno terutama presiden Umno tidak mencadangkan diadakan pilihan raya negeri Perak seperti mana cadangan yang dibuat kepada negeri Melaka.

"Adakah disebabkan menteri besar Perak yang dilantik ketika ini adalah proksi presiden Umno sehingga berlaku cadangan yang tidak konsisten? Persoalan ini harus dijawab oleh presiden Umno kerana bahana kepada pilihan raya negeri akan membawa kepada kesan yang buruk dalam tempoh pandemik Covid-19 seperti mana yang berlaku di pilihan raya negeri Sabah," katanya.

Ketika berucap di parlimen semalam, Zahid berkata, sewajarnya mandat dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru untuk memimpin Melaka.

Katanya, dia tidak hairan jika kehilangan kerajaan yang dipimpin oleh parti pimpinannya.

Mengulas lanjut Muhammad Asri berkata, memperjudikan kesihatan dan keselamatan rakyat demi kepentingan politik adalah sehina-hina bentuk percaturan politik yang perlu ditolak oleh rakyat.

"Saya yakin bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri tidak akan bersetuju dengan idea separuh masak yang dilontarkan oleh Presiden Umno dalam keadaan negara menuju jalan keluar pemulihan pandemik ketika ini," katanya.

Semalam, Idris Haron (BN-Sungai Udang) yang juga bekas ketua menteri Melaka, mengumumkan bahawa dia bersama tiga lagi wakil rakyat hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri.

Tiga wakil rakyat yang lain itu adalah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Pengumuman Idris itu menyebabkan Sulaiman kini hanya mempunyai sokongan 11 Adun sahaja kurang empat untuk mendapatkan majoriti mudah. Sementara, Pakatan Harapan yang mempunyai 11 Adun sedia menubuhkan kerajaan negeri baru bersama Idris dan tiga lagi Adun.