Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KKM jalankan kaji selidik tahap kesediaan hidup bersama Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan kaji selidik mengenai tahap kesediaan orang ramai untuk memasuki fasa endemik Covid-19.

Hal itu dinyatakan Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran di media sosial pagi ini.

"Adakah anda bersedia hidup bersama-sama Covid-19?" katanya.

Menyertai hantaran berkenaan ialah borang kaji selidik dalam talian untuk diisi orang ramai.

Penjelasan pada borang itu menyatakan ia dibuat bagi mengenal pasti tahap kesediaan orang ramai untuk hidup bersama-sama Covid-19.

"Tiada jawapan (yang dianggap) betul atau salah.

"Dapatan tinjauan ini akan digunakan untuk menambah baik strategi promosi dan pendidikan kesihatan dalam mendidik dan memperkasa Keluarga Malaysia untuk hidup bersama-sama Covid-19," katanya.

Antara soalan yang ditanya ialah apa yang difahami seseorang mengenai situasi "hidup bersama-sama Covid-19" dan tahap kesediaan masing-masing, sama ada sangat tidak bersedia sehingga sangat bersedia.

Turut ditanya ialah tindakan yang diambil responden jika berada dalam situasi tertentu di majlis sosial atau tempat awam semasa fasa endemik Covid-19.

Ada kira-kira 20 soalan diberi secara keseluruhan, membabitkan langkah-langkah pencegahan yang akan diambil secara umum.

Responden boleh menjawab dengan memilih cadangan yang diberikan dari skala 1 hingga 5 atau pilihan "ya" atau "tidak" pada bahagian tertentu.

Tidak ada maklumat sensitif yang dikongsi semasa tinjauan, termasuk alamat e-mel peserta.

Peserta kaji selidik itu hanya akan diminta untuk memberitahu kumpulan umur dan status pekerjaan masing-masing, serta negeri dan daerah tempat mereka tinggal.

Sesiapa yang berminat untuk mengambil bahagian dalam tinjauan soal selidik boleh melakukannya di sini.