Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parlimen: Sesi penggulungan RMK12 bermula hari ini

Hari ini bermula sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di oleh kementerian-kementerian selepas rancangan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025 itu dibahaskan di Parlimen.

Sebanyak 106 ahli parlimen blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan selepas RMK12 dibentangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Sept.

Antara isu dibangkitkan ahli parlimen dalam perbahasan selama empat hari bermula 28 Sept itu ialah kesihatan, vaksin Covid-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pasca-Covid-19 dan pengurusan bekalan air negara.

Berdasarkan takwim Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas 2021 di portal parlimen sesi penggulungan oleh kementerian dijadual berlangsung sehingga Khamis.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat persidangan hari ini dimulakan dengan sesi Waktu Pertanyaan Menteri melihatkan soalan untuk perdana menteri berkaitan sekuriti tenaga (energy security) di negara ini ketika berlaku krisis tenaga global dan hala tuju untuk meningkatkan sekuriti tenaga negara.

Dua lagi soalan untuk sesi berkenaan adalah untuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai adakah kementerian bercadang menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA (online travel agent) dan Menteri Perpaduan Negara berkaitan sejauh mana Tabika Perpaduan memainkan peranan dalam memupuk nilai-nilai perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan setakat manakah tahap kebolehpasaran graduan semasa pandemik Covid-19 dan langkah bagi menyediakan graduan yang berdaya saing di pasaran pekerjaan.

Turut ditanya ialah soalan mengenai keberkesanan modul sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) yang diajukan oleh Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) kepada Menteri Pendidikan.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.

- Bernama