Umno serah kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri Melaka
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata Umno menyerahkan krisis yang sedang berlaku di negeri itu kepada kebijaksanaan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.
“Badan Perhubungan Umno Melaka menyerahkan atas kebijaksanaan TYT untuk menyelesaikan atau meleraikan kemelut politik yang sedang melanda negeri Melaka.
“Mengikut Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri, TYT boleh memprorog (menggantung) atau membubarkan DUN,” kata pengerusi Umno Melaka itu dalam sidang media sebentar tadi.
“Kita telah bersama-sama membina kerajaan Melayu dan Islam selama 19 bulan, yang telah pun menunjukkan pencapaian yang baik, tetapi akhirnya kita digegarkan dengan satu tekanan politik dalam mereka ini mencapai cita-cita mereka dan berkepentingan semata-mata,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, bekas ketua menteri Melaka dari Umno, Idris Haron yang juga Adun Sungai Udang, bersama tiga yang lain, mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri.
Tiga yang lain ialah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) juga dari Umno, Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Susulan itu, Pakatan Harapan (PH) bersama keempat mereka, telah memohon untuk berjumpa Ali bagi membincangkan soal kesinambungan kerajaan negeri.
'Tak panggil macam mana nak pergi?'
Kata Rauf, adalah sesuatu yang malang buat Melaka menerima tekanan politik dalam bentuk hilang kepercayaan oleh empat Adun berkenaan, di kala negeri itu baru sahaja beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.
Tambahnya, di peringkat persekutuan, telah termeterainya perjanjian persefahaman (MOU) antara kerajaan dan pembangkang, namun lain pula ceritanya di Melaka sehingga kerajaan yang telah terbina selama 19 bulan runtuh.
Rauf juga mengulangi pendirian disuarakan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan bahawa keahlian dua Adun Umno - Idris dan Azman - tergugur secara automatik ekoran tindakan yang diambil mereka itu.
Ditanya tentang pertemuannya dengan YDP Melaka, kata Rauf, setakat ini dia belum lagi dipanggil untuk bertemu Ali.
“Kalau dipanggil, saya boleh bertemulah. Kalau tak dipanggil, saya macam mana nak pergi?” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai