Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Azeez gesa tubuh RCI Tommy Thomas siasat kes digugur zaman PH

PARLIMEN l Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mencadangkan agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kes-kes pendakwaan yang digugurkan oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menggelarnya sebagai ‘RCI Tommy Thomas’, kata Azeez, selain kes-kes digugurkan membabitkan tokoh PH, RCI itu dapat merungkai pendakwaan ke atas tokoh Umno, serta dakwaan-dakwaan kontroversi di dalam autobiografi Thomas, My Story: Justice in the Wilderness.

“Saya mengusulkan kepada kerajaan di bawah Bera (BN-Ismail Sabri Yaakob) yang begitu prihatin dan cakna, let us be gentlemen, kita wujudkan RCI Tommy Thomas, di atas pendakwaan yang dilakukan, serta buku beliau (Thomas) sendiri yang telah dikeluarkan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Dia berkata demikian sebagai maklum balas kepada Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mempersoalkan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelepasan Ahmad Maslan (BN-Pontian) daripada kes mahkamahnya.

Tempelak Azeez, Hanipa tidak pula membangkitkan isu tersebut semasa kes-kes digugurkan pada zaman PH membabitkan tokoh gabungan itu - sebanyak 15 kes - sedangkan Hanipa sendiri merupakan timbalan menteri undang-undang pada masa itu.

“Jadi kenapa hari ini, pihak pembangkang datang pula sekarang ni nak memanipulasi atas segala keputusan (mahkamah) yang dibuat ... " katanya.

Katanya, undang-undang mestilah dipatuhi dan dan keputusan mahkamah haruslah dihormati.

Antara kes membabitkan tokoh PH yang digugurkan pada zaman PH adalah membabitkan kes rasuah membabitkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, kes hasutan membabitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, kes poster palsu membaitkan Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa, dan lain-lain.

Ini bukan kali pertama penubuhan RCI dibangkitkan untuk menyiasat buku Thomas.

Sebelum ini, beberapa tokoh Umno turut menggesa hal sama dengan mendakwa buku itu menunjukkan, antara lain, berlakunya campur tangan politik dalam institusi peguam negara dan kehakiman.

Antaranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Razak dan ketua pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata Azeez lagi, RCI itu juga akan dapat merungkai masalah integriti berhubung pendakwaan pada zaman PH, serta gelaran seperti ‘kluster mahkamah’ dan ‘pencuri’ yang dilemparkan kepada Umno - dipercayai merujuk kes rasuah melibatkan beberapa tokohnya, termasuk Azeez sendiri.

“[...] Siapakah dalangnya, atau pun adakah tangan-tangan ghaib yang telah memberikan arahan-arahan tertentu untuk menangkap dan menuduh mereka, khususnya di kalangan kami (Umno) dahulu

“Kita harap kerajaan akan dapat laksanakan RCI Tommy Thomas dalam masa terdekat ini untuk merungkai segala kemelut di kedua-dua pihak,” katanya.

Selain Azeez sendiri, beberapa tokoh Umno terpalit kes mahkamah, antaranya Najib, dan Zahid.

Najib didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dan kini dalam proses rayuan, manakala Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor dilepas dan dibebaskan daripada sabitan tuduhan rasuah setelah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ahmad pula pada bulan lalu baru bebas daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu kepada SPRM, setelah pendakwaan menarik balik pertuduhan ke atasnya.

Sebelum ini, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman turut bebas daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melalui cara yang sama.