Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

118 lagi korban Covid-19, jumlah kematian kini 26,683

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan sejumlah 118 kematian Covid-19 semalam (3 Oktober), menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 26,683 kes.

Daripada jumlah kematian baru itu, 22.9 peratus (27 pesakit) meninggal dunia sebelum dapat menerima rawatan di hospital.

Perak merekodkan kes kematian baru tertinggi dengan 26 kes (22 peratus), disusuli dengan Pulau Pinang (14), Sabah (14), Kedah (13), Sarawak (12), Johor (11), Kelantan (9), Selangor (8), Pahang (3), Melaka (2), Negeri Sembilan (2), Perlis (1), Terengganu (1), Kuala Lumpur (1) dan Labuan (1).

Tiada kematian baru yang dilaporkan di Putrajaya.

Sebanyak 95 daripada 118 kes kematian yang dilaporkan (80.5 peratus) berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Kematian selebihnya berlaku lebih seminggu yang lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata kematian untuk tempoh tujuh hari terakhir adalah 178 kes, berbanding purata 305 kes untuk tempoh 30 hari terakhir - menandakan trend penurunan.

Setakat semalam, terdapat 150,317 kes aktif Covid-19 - berkurang 18 peratus berbanding 183,289 kes seminggu yang lalu.

Jika dibandingkan dengan 30 hari lalu, bilangan kes aktif berkurang sebanyak 42 peratus daripada 259,192 kes.

Kemas kini KKM semalam juga menunjukkan maklumat lanjut mengenai jangkitan Covid-19 semalam.

Daripada 9,066 kes baru yang dilaporkan, 388 dapat dikesan daripada kluster sedia ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 224 kes (57.7 peratus) berkaitan komuniti manakala 140 kes (36.1 peratus) berkaitan tempat kerja.

Sebanyak 17 kes (4.4 peratus) berkaitan dengan kluster kumpulan berisiko tinggi manakala baki lima kes (1.3 peratus) berkaitan dengan kluster pusat tahanan dan masing-masing satu kes (0.3 peratus) berkaitan institusi pendidikan dan keagamaan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian bersama dengan jumlah kes Covid-19 baru pada waktu petang.

Statistik kematian kini dikeluarkan selepas tengah malam bersama dengan data lain yang lebih terperinci.