Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hajiji: Bawah Ismail Sabri agenda hak Sabah, Sarawak bukan omong kosong

Kerajaan Sabah akan sentiasa memastikan setiap dasar dipinda adalah berlandaskan kepentingan rakyat demi memastikan kesejahteraan mereka dan ekonomi negeri, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan sentiasa memastikan sebarang perundangan dan dasar tidak bercanggah dengan Perlembagaan dalam menjamin seterusnya memelihara hak rakyat khususnya di Sabah.

"Saya percaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, agenda untuk mengembalikan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak bukanlah omong kosong sebaliknya merupakan antara fokus utama kerajaan yang akan ditunaikan," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Hajiji menerima kunjungan hormat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri di JPM (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di kediaman rasminya di Sri Gaya, di Kota Kinabalu hari ini.

Hadir sama dalam perjumpaan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Peguam Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

Pelbagai perkara melibatkan perundangan serta dasar dibincangkan dan diteliti dalam perjumpaan tersebut.

- Bernama