Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Sebelum ada projek pembangunan, kampung ni tak pernah banjir termenung'

Bagaikan sudah lali dengan fenomena 'banjir termenung' yang berlaku, itu antara luahan penduduk Kampung Baru Sri Gading di Batu Pahat, apabila mereka kerap menjadi penghuni pusat pemindahan sementara (PPS), lebih-lebih lagi apabila hujan lebat turun di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Nor Ikhwan Nasir, 46, berkata dalam masa 10 tahun kebelakangan ini dia bersama keluarganya telah lebih 20 kali dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Aman, setelah kediamannya dinaiki air.

Katanya, selain hujan lebat dalam tempoh masa yang panjang, antara faktor banjir kilat kerap berlaku di sekitar kampung berkenaan didakwa berpunca daripada pembangunan kawasan penempatan baharu berhampiran.

"Sebelum ini ketika tiada projek pembangunan, kawasan kampung ini tidak pernah berlaku ‘banjir termenung’ atau banjir kilat...kini sekiranya hujan lebat berlaku, air banjir ada kalanya tidak surut selama seminggu.

"Habis rosak semua barangan di dalam rumah kami ditenggelami air dan dalam masa 10 tahun ini sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun rumah digenangi air banjir termenung, terutama ketika musim hujan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS SK Seri Aman di Batu Pahat hari ini.

Seorang lagi mangsa banjir, Azam Isnin, 46, berkata dia juga mengalami keadaan sama apabila terpaksa menghuni PPS SK Seri Aman selepas rumahnya dinaiki air pada Khamis lepas.

Azam berkata meskipun sudah masuk hari keempat dia menghuni di PPS berkenaan, keadaan banjir di rumahnya tidak surut, air bertakung terlalu lama dan tidak dapat mengalir ke mana-mana.

"Sangat meletihkan apabila kena berpindah-randah dan selepas ini kena cuci rumah pula. Kami penduduk di sini berharap sangat masalah banjir yang kerap berlalu dapat diatasi dengan segera," katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar Kampung Baru Sri Gading mendapati lebih 20 rumah masih lagi ditenggelami air setinggi tiga kaki (0.9 meter).

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan PPS SK Seri Aman merupakan satu-satunya PPS yang dibuka di negeri ini pada 11 malam, 30 Sept lepas berikutan kejadian banjir kilat di Kampung Baru Sri Gading.

"Banjir kilat itu berpunca daripada hujan lebat lebih empat jam dan pertembungan air pasang telah menyebabkan limpahan air ke kawasan kampung terbabit.

"Setakat 4 petang ini, seramai 63 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan," menurut kenyataan itu.

- Bernama