Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas MP Umno lapor polis, dakwa penceramah hina agama bukan Islam

Bekas ahli parlimen Umno Tawfik Ismail membuat laporan polis terhadap seorang penceramah atas dakwaan menghina agama bukan Islam, dalam satu ceramah yang tular sebelum ini.

Dalam laporan yang dilihat Malaysiakini itu, Tawfik mendakwa penceramah itu menghina dan memburukkan agama Buddha, Hindu, masyarakat Dayak serta kepercayaan bukan Islam yang lain.

Dia memetik petikan daripada dua video berbeza yang dipercayai rakaman satu ceramah sama, yang dikongsikan di YouTube dan Tik Tok.

Dia antara lain berkata, penceraman itu mendakwa penganut Buddha, Hindu serta masyarakat Dayak di luar negara "membunuh orang Islam", serta memberi amaran terhadap orang Islam di Malaysia berhubung kemungkinan kejadian yang sama di dalam negara.

Dalam laporan itu, Tawfik menyatakan 13 contoh daripada video tersebut yang menurutnya menunjukkan penceramah itu mencetuskan kegelisahan dan kebencian di kalangan orang Islam terhadap penganut agama lain.

"XXX (penceramah itu) adalah ancaman terhadap masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup bersama dengan aman di Malaysia.

"Laporan ini dibuat bagi kepentingan negara kita yang tercinta agar polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar undang-undang di Malaysia," kata anak sulung bekas timbalan perdana menteri, Tun Ismail Abdul Rahman itu.

Katanya lagi, dia percaya tiada orang yang berfikiran waras akan mengeluarkan kata-kata atau ancaman seperti yang dibuat individu tersebut.

"Selain menyiasatnya kerana melanggar undang-undang, saya menggesa polis untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk penilaian mental dan psikiatri dibuat terhadapnya di pusat kesihatan kerajaan, kerana saya benar-benar merasakan dia adalah ancaman kepada masyarakat dan kalangan di sekitarnya," katanya lagi.

Tawfik ketika dihubungi mengesahkan telah membuat laporan polis di balai polis daerah Brickfields, dan memaklumkan polis akan mengambil keterangannya hari ini.

Selain Tawfik, portal The Vibes melaporkan NGO Global Human Rights Federation turut menggesa orang ramai membuat laporan polis terhadap penceramah tersebut atas dakwaan hasutan dan kenyataan yang boleh mencetuskan kegelisahan.