Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Imam masjid rugi lebih RM55,000 'dipukau' bakal menantu

Imam masjid membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu seorang lelaki hingga mengalami kerugian sehingga RM55,800 dalam kejadian bermula Jun hingga pertengahan September, tahun ini.

Imam berusia 50-an itu membuat laporan di Balai Polis Bachok, Kelantan pada 14 September lalu selepas menyedari dia dan anak perempuannya diperdaya individu tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, imam berkenaan mengenali lelaki berusia 36 tahun itu yang juga bakal menantunya pada Jun lalu.

Menurut Abdul Rahim, lelaki itu mendakwa mempunyai perniagaan emas dan kambing perap serta meminta sejumlah modal daripada bakal mentuanya.

"Imam tersebut memberi sejumlah wang lebih RM38,000 daripada awal Jun hingga September secara berperingkat berdekatan di Bandar Baru Kubang Kerian.

"Dia juga memberikan barang kemas berjumlah RM6,000 dan sebuah kereta Proton Gen2 bagi memudahkan urusan perniagaan bakal menantunya," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ni.

Abdul Rahim berkata lagi, pada 14 September, lelaki tersebut menyedari dirinya ditipu dan tampil membuat laporan polis berikutan wang yang dipinjamkan tidak dipulangkan kembali.

Menurutnya, imam berkenaan menghubungi bakal menantunya untuk menuntut wang namun pelbagai alasan yang diberikan.

"Lelaki itu sudah ditahan pada jam 11 malam tadi di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Chepa bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dalam proses untuk tahanan reman," katanya lagi.

Terdahulu kes tersebut viral di media sosial selepas anak perempuan imam itu menceritakan kejadian dialami mereka menerusi hantaran di Facebook.

Pengguna Facebook dikenali sebagai Nurul Afifah itu berkata, pemberian wang oleh ayahnya kepada lelaki tersebut didakwa dalam keadaan diri mereka 'dipukau'.

"Dengan usaha adik-beradik, ayah pulih dan sedar telah ditipu.

"Kerugian kami berjumlah RM55,800, termasuk wang simpanan ibu, ayah, dan abang serta duit yang dipinjam daripada saudara terdekat selain barang kemas.

"Kemudian dia menghilangkan diri dan gagal dihubungi. Dia juga menggunakan kad pengenalan saya yang diperoleh untuk urusan perkahwinan dan membuat pinjaman ah long.

"Sungguh kami terkesan dan trauma sangat panjang. Agak berat untuk saya kongsikan kisah ini, namun demi keselamatan orang awam saya gagahkan juga," katanya yang berharap tiada lagi yang menjadi mangsa individu tersebut.