Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH gesa AG jelaskan SOP pendakwaan individu berprofil tinggi

Majlis Presiden PH menggesa Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi, susulan keputusan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang dilepas dan dibebaskan.

Ia selepas pihak pendakwaan menarik balik dua pertuduhan terhadap Ahmad selepas dia setuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

“Kami menggesa peguam negara untuk beri penjelasan memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan peguam negara.

“Peguam negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi SOP baru terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

“Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada "barang kes" tersebut?” soal Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Madius Tangau.

Pada 29 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan ahli parlimen Pontian itu atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada LHDN dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad selepas dia bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

SPRM kemudian memaklumkan Ahmad pernah ditawarkan kompaun pada Oktober 2019 tetapi memilih untuk dibicarakan.

Namun ketika perbicaraan, kata SPRM, Ahmad telah mengemukakan representasi dan kembali setuju untuk membayar kompaun tersebut.

Mengulas lanjut isu tersebut, Majlis Presiden PH turut menyuarakan rasa kesal dengan apa yang didakwanya sebagai sikap acuh tak acuh SPRM yang seolah-olah membenarkan perkara itu.

“Bolehkah SPRM memberikan penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan pembayaran balik wang sogokan yang dirampas sepertimana yang membabitkan ahli politik penyokong kerajaan?

“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum (rule of law), trend baru peguam negara dan SPRM ini jelas melanggar prinsip bahawasnya keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga mesti disaksi dilakukan (“justice must not only be done, it must also be seen to be done").

“Tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki agar SPRM mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai,” kata Majlis Presiden PH lagi.