Azalina kini jadi penasihat khas perdana menteri
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Azalina Othman Said, dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri bagi hal ehwal undang-undang dan hak asasi manusia.
Perkara itu disahkan Azalina sediri hari ini. Dia yang pernah berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesahkan menerima surat pelantikan daripada Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Pengerang itu juga berterima kasih kepada perdana menteri atas keyakinan melantiknya ke jawatan berkenaan.
"Terima Kasih YAB Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan.
"Insya-Allah dengan kudrat yang ada saya akan lakukan yang terbaik demi negara," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada 23 Ogos lalu, di tengah kemelut politik negara membabitkan persengketaan di antara sesetengah pemimpin kanan Umno dengan Bersatu, Azalina meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.
Ia kemudian memberi tekanan kepada Bersatu khususnya presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, yang didesak oleh Umno untuk berundur atas alasan sudah hilang sokongan majoriti parlimen.
Muhyiddin akhirnya meletak jawatan secara rasmi pada 16 Ogos.
Peletakan jawatan Azalina itu menceguskan spekulasinya yang mengaitkannya dengan pelantikan ke dalam kabinet Ismail Sabri. Bagaimanapun naib presiden Umno itu tidak menyenaraikan Azalina dalam barisan jemaah menterinya.
Di sebalik kedudukannya sebagai anggota parti kerajaan, Azalina tetap mendapat sokongan daripada pembangkang yang menyarankan dia dimasukkan ke kabinet, khususnya bagi mengelola hal ehwal wanita serta kanak-kanak.
Sementara itu, veteran Umno Shahrir Samad menyifatkan pelantikan Azalina sebagai penasihat perdana menteri adalah tepat berdasarkan ketegasannya.
Jelas Shahrir, Azalina bukan saja layak dilantik sebagai penasihat, malah berkelayakkan untuk memegang jawatan sebagai peguam negara.
"Ketegasan Azalina mempertahankan kemuliaan Dewan Rakyat apabila digantung semasa darurat membuktikan dirinya sebagai seorang yang berprinsip tegas.
"Ismail Sabri mengambil langkah berani dengan melantik Azalina sebagai penasihat undang-undanh dan hak asasi manusia kerana dia seorang yang mengambil serius apa sahaja peranan yang diberikan kepadanya.
"Bagi saya, Azalina layak sangat dilantik sebagai peguam negara supaya negara boleh berubah kepada pemisahan peranan peguam negara (sebagai anggota Jemaah Menteri dan penasihat undang-undang kerajaan) dengan peranan pendakwa raya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai