Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

121 lagi korban Covid-19, jumlah kematian kini 26,456

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan sejumlah 121 kematian Covid-19 semalam (1 Oktober), menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 26,456 kes.

Daripada jumlah kes baru tersebut, 23.1 peratus (28 kematian) berlaku sebelum pesakit dapat menerima rawatan di hospital.

Sarawak merekodkan kes kematian tertinggi iaitu 25 kes (20.7 peratus), disusuli dengan Johor (17), Sabah (17), Kelantan (15), Selangor (15), Perak (7), Kuala Lumpur (7), Kedah (6), Pulau Pinang (6), Perlis (3), Terengganu (2) dan Pahang (1).

Tiada kematian baru dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.

Sarawak menjadi satu-satunya negeri dengan kes kematian - berdasarkan tarikh sebenar kematian - dalam trend peningkatan sejak bulan lalu.

Sebanyak 99 daripada 121 kes kematian yang dilaporkan (81.8 peratus) berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Kematian selebihnya berlaku lebih seminggu yang lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Setakat semalam, terdapat 160,413 kes aktif Covid-19 - berkurang 18.1 peratus berbanding 195,837 kes seminggu yang lalu.

Jika dibandingkan dengan 30 hari lalu, jumlah kes aktif berkurang sebanyak 39.5 peratus daripada 265,277 kes.

Sebelumnya, Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian bersama dengan jumlah kes Covid-19 baru pada waktu petang.

Statistik kematian kini dikeluarkan selepas tengah malam bersama dengan data lain yang lebih terperinci.