Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pendakwah bebas, isteri dipanggil ke Bukit Aman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan mereka memanggil semula seorang pendakwah bebas terkenal semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata turut dipanggil ialah isteri pendakwah terbabit.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pendakwah itu hadir di Bukit Aman untuk diambil keterangan berkaitan kes tersebut.

Menurut polis dia disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada 19 Ogos lepas.

Pada 22 Sept lalu tular video dan mesej lucah di aplikasi Telegram yang didakwa mempunyai kaitan dengan pendakwah berkenaan.

Susulan itu, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

- Bernama