Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tanah runtuh, sebuah kereta terjunam

Sebahagian tembok penahan dan jalan di Lengkok Halia, Tanjung Bungah di George Town mengalami tanah runtuh sehingga menyebabkan sebuah kereta yang diparkir di kawasan itu terjunam ke dalam runtuhan tersebut.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dalam kejadian itu kerana tiada pemandu atau penumpang dalam kereta jenis Proton Saga tersebut.

Berdasarkan rakaman video selama 13 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan kereta tersebut diparkir di tepi jalan yang jalan berkenaan terletak di tebing sebuah parit kecil.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Ar Yew Tung Seang turut mengadakan lawatan di kawasan tanah runtuh itu berkata kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi, tadi.

"Semalam kami (MBPP) mendapati terdapat rekahan pada tebing dan tembok penahan jalan itu, jadi kami telah mengarahkan pemilik kereta yang parkir di situ agar tidak meletakkan kenderaan di situ.

"Semasa kejadian tanah runtuh, terdapat enam kereta diparkir di situ namun lima daripadanya sempat dialihkan oleh pemilik kenderaan manakala sebuah lagi kereta tidak sempat dialihkan dan menyebabkan ia terjunam ke dalam runtuhan berkenaan," katanya ketika dihubungi di George Town hari ini.

Yew berkata pihaknya ketika ini menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengetahui punca sebenar insiden tanah runtuh berkenaan.

Katanya kawasan kejadian itu merupakan tanah rizab JPS dan pihaknya telah meminta mereka membaiki runtuhan tersebut.

"Punca kejadian itu masih dalam siasatan dan pihak JKR bersama JPS sedang menyediakan laporan berhubung perkara tersebut. Jalan ini akan ditutup sehingga kerja-kerja pembaikan dijalankan," katanya.

- Bernama